Kemungkinan BN, PN Bergabung: Amanah Hadapi Dengan Tenang, Tak Panik

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan kebarangkalian penyatuan semula Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu hakikat politik yang perlu dihadapi dengan tenang tanpa sebarang rasa panik.

Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Amanah bersedia berdepan sebarang perubahan landskap politik tanah air sambil kekal berpegang kepada pendekatan mendahulukan kepentingan rakyat serta negara.

“BN dan PN mempunyai pendekatan mereka, dan itu hak mereka. AMANAH dan PH pula akan teruskan dengan pendekatan kita yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara daripada kepentingan parti dan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi hantaran di media sosialnya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih mesra disapa Bang Mat mendedahkan terdapat pihak yang menyuarakan kebimbangan kepadanya berhubung senario politik terkini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa sejarah telah membuktikan hubungan antara PAS dan Umno bukanlah sesuatu yang baharu, di mana kedua-dua parti itu pernah bersama dan kemudiannya berpisah.

“Jika mereka memilih untuk kembali bersama, kita lihat sahaja bagaimana perjalanan itu nanti dan sejauh mana keserasian itu dapat bertahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal komited membela nasib kaum Melayu dan memartabatkan Islam menerusi dasar yang memberi manfaat nyata, bukannya melalui dakyah ketakutan.

Beliau menambah, prinsip asas Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan Islam, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan hak istimewa Bumiputera akan terus dipertahankan tanpa terperangkap dengan mainan politik sentimen serta perpecahan.

Mengulas mengenai hala tuju kaum Melayu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu menekankan pentingnya melahirkan generasi yang berilmu, berintegriti, dan berani bersaing di peringkat global.

“Membela Melayu bukan dengan mengulang naratif bahawa Melayu sentiasa terancam. Jika kita terus menanam rasa lemah, bila kita nak membina kekuatan? Tanggungjawab kerajaan ialah membina keyakinan, bukan menyemai ketakutan.

“Akhirnya, Melayu yang kuat bukanlah Melayu yang hidup dalam ketakutan, tetapi Melayu yang berilmu, bermaruah, berintegriti, yakin diri dan berani bersaing dengan sesiapa sahaja,” jelasnya.

Tambah beliau, orang Melayu hari ini sudah semakin matang serta tidak lagi mudah terpedaya dengan mainan sentimen yang tidak berkesudahan, sebaliknya mula bangkit secara berdikari dan berani menegakkan kebenaran.

BBerkaitan

Latest articles