SEREMBAN: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada keperluan untuk mana-mana menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung larangan menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, kuasa melantik dan memecat menteri adalah hak mutlak Perdana Menteri.
Justeru, jika Anwar tidak berpuas hati dengan mana-mana menteri BN, beliau bebas mengambil tindakan termasuk memecat mereka.
“Tak payah suruh letak jawatan. Yang melantik menteri-menteri ini ialah Perdana Menteri. Kalau dia tak suka, pecat sajalah. Tetapi saya percaya beliau tidak sampai hati berbuat demikian kerana kami semua bekerja bersungguh-sungguh dan menunjukkan prestasi yang baik,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM) KEMAS Kampung Pantai, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN ketika ini mempunyai lapan menteri penuh dan tujuh timbalan menteri dalam Kabinet, sekali gus membuktikan parti itu mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan serta mampu memberikan prestasi terbaik.
Katanya, sepanjang kempen PRN, BN hanya menonjolkan pencapaian menteri-menterinya sendiri tanpa menyentuh atau menyerang prestasi menteri daripada parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan sepanjang kempen hanya berkaitan prestasi dan pencapaian BN, selain menegaskan Kerajaan Persekutuan di Putrajaya tidak pernah dijadikan sasaran.
Sebelum ini, Anwar memberi amaran bahawa mana-mana menteri, timbalan menteri atau pemegang jawatan dalam agensi kerajaan yang menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan parti dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen boleh diminta mengundurkan diri daripada jawatan masing-masing.










