“Isu Lompat Parti Tak Timbul, Saya Kekal Bertanding Atas Tiket PN” – Ridzuan Ahmad

GEMAS: Calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Gemas, Ridzuan Ahmad, menepis keras tuduhan berhubung isu “lompat parti” yang dimainkan pihak tertentu dan menegaskan pendirian politiknya kekal konsisten.

​Bekas ADUN Gemas itu menjelaskan bahawa tiada timbul isu berpaling tadah atau lompat parti kerana beliau kekal menawarkan diri bertanding mengusung bendera serta tiket Perikatan Nasional, sama seperti pilihan raya lalu.

​Sebelum ini, Ridzuan mengambil keputusan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan melepaskan jawatan pimpinan bahagian untuk menyertai Parti Wawasan Negara.

Langkah itu diambil bagi membawa wadah politik baharu yang mengutamakan kestabilan serta kebajikan rakyat berbanding kepentingan parti.

​”Sebenarnya isu lompat parti tak timbul sebab dahulu saya bertanding atas nama Perikatan Nasional, hari ini saya bertanding atas nama Perikatan Nasional.

“Cuma disebabkan parti lama tidak mahu bekerjasama untuk penyatuan ini, saya rasakan saya perlu mengambil tindakan begini,” katanya ketika ditemui dalam majlis sembang santai di Warung Abon, Jelai 4, di sini.

​Mengulas mengenai dakwaan ketegangan dalam kalangan jentera sokongan, Ridzuan memaklumkan sesi penerangan telah dijalankan bagi memberi penjelasan kepada jentera dan pendukung di peringkat akar umbi.

Jelasnya, hasil penerangan itu menyaksikan kerjasama antara ahli dan jentera kini berjalan lancar serta beroperasi dalam keadaan harmoni.

​Beliau secara terbuka menzahirkan permohonan maaf kepada seluruh pengundi di DUN Gemas sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang tempoh beliau menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat sebelum ini.

Beliau merayu agar diberi peluang sekali lagi bagi membolehkan agenda pembangunan yang masih tergendala diselesaikan.

​Sepanjang memegang mandat selama dua tahun sembilan bulan, beliau kekal memberi komitmen terbaik biarpun berdepan cabaran bertindak sebagai pembangkang tanpa peruntukan rasmi daripada kerajaan negeri.

Pelbagai bantuan kebajikan dan kebajikan rakyat tempatan berjaya diteruskan menerusi sokongan rakan-rakan serta sumber kewangan perniagaan peribadi beliau sendiri.

​Bagi perancangan masa depan, Ridzuan berhasrat untuk menyelesaikan beberapa projek dan potensi tempatan yang didakwanya masih terhenti.

“Antaranya termasuk menyegerakan penyiapan projek Kompleks Sukan Gemas yang tertangguh sejak diluluskan pada 2020 demi kemudahan golongan muda.

​”Saya juga merancang untuk mengangkat imej Gemas sebagai Bandar Tentera yang lebih teratur serta mengupayakan kedudukan strategik kawasan itu sebagai hab pengangkutan kereta api utama yang menghubungkan laluan Selatan, Utara, dan Pantai Timur bagi merangsang pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan,” jelasnya.

BBerkaitan

Latest articles