KAJANG — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan masih menanggung beban kewangan yang besar akibat salah urus dan keputusan pelaburan terdahulu melibatkan FELDA, termasuk komitmen pembayaran hampir RM980 juta setiap tahun.
Beliau berkata, masalah yang diwarisi itu bukan sahaja melibatkan FELDA, malah termasuk isu kewangan lain seperti 1MDB yang menurutnya masih memberi kesan kepada kedudukan fiskal negara.
Menurut Anwar, FELDA pernah diterajui oleh pengurusan profesional yang komited terhadap kebajikan peneroka, namun keadaan berubah apabila institusi itu dikatakan dipimpin oleh beberapa tokoh politik sehingga menyebabkan berlakunya salah urus.
Beliau mendakwa terdapat keputusan pelaburan yang merugikan, termasuk pembelian aset pada harga yang jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar sehingga menyukarkan usaha kerajaan untuk melupuskannya pada nilai pasaran semasa.
“Realitinya sekarang, kita yang terpaksa membayar. Kesilapan pengurusan dahulu akhirnya menjadi tanggungan kerajaan hari ini,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan tidak boleh mengelak daripada menjelaskan isu-isu lama kerana kesannya masih dirasai sehingga kini, termasuk pembayaran tahunan yang menurutnya hampir mencecah RM1 bilion.
Beliau mendakwa beban tersebut berpunca daripada penyalahgunaan kuasa, rasuah dan ketamakan segelintir pihak yang pernah diberikan amanah mengurus institusi berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kedudukan sebenar kewangan negara dan sebab mengapa langkah-langkah pembaharuan perlu diteruskan.
“Saya bertanggungjawab untuk menjelaskan bahawa inilah realitinya. Kesilapan lalu tetap perlu kita tanggung dan selesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Santai Mesra Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara bersama warga perkhidmatan awam Zon Tengah di Dewan Sultan Idris Shah (DSIS), Universiti Islam Selangor (UIS), Kajang Hari ini.










