Isu Network School: Jangan Henti Siasatan Setakat Semak Pasport, Kata Wawasan Johor

JOHOR BAHRU: Siasatan berhubung dakwaan penyertaan rakyat Israel dalam komuniti Network School di Forest City tidak sepatutnya dihentikan hanya kerana pemeriksaan awal mendapati tiada bukti berdasarkan dokumen perjalanan yang dikemukakan, kata Parti Wawasan Negara Johor.

Penyelaras Majlis Perhubungan Parti Wawasan Negara Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, siasatan perlu diteruskan secara menyeluruh memandangkan terdapat kemungkinan individu tertentu memiliki kerakyatan berganda atau menggunakan pasport negara lain untuk memasuki Malaysia.

Menurut beliau, sebarang dakwaan atau penafian berhubung isu itu hanya boleh dimuktamadkan selepas siasatan lengkap, profesional dan berpandukan fakta dijalankan oleh pihak berkuasa.

“Kita mahu semua persoalan yang dibangkitkan rakyat dijawab secara jelas, telus dan meyakinkan. Siasatan tidak boleh terhenti setakat pemeriksaan pasport semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau menyambut baik tindakan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Johor, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan yang telah menjalankan pemeriksaan terhadap operasi Network School.

Berdasarkan maklumat yang diumumkan sebelum ini, pemeriksaan melibatkan lebih 250 warga asing dari 40 negara mendapati kesemua mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bagaimanapun, Zulkifli menegaskan aspek keselamatan negara dan integriti sistem imigresen tidak boleh dikompromi walau dalam apa jua keadaan.

Beliau berkata, rakyat juga berhak mengetahui sama ada operasi Network School mematuhi keseluruhan peraturan negara, termasuk status pendaftaran institusi, lesen premis, bentuk aktiviti yang dijalankan serta pematuhan terhadap semua undang-undang berkaitan.

Dalam kenyataan sama, beliau mengiktiraf usaha kerajaan menjadikan Johor sebagai hab pelaburan berteknologi tinggi menerusi pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan inisiatif menghidupkan semula potensi Forest City.

Katanya, negeri itu sememangnya memerlukan pelaburan berkualiti yang mampu menarik bakat global, memperkukuh inovasi serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi kepada rakyat.

Namun, beliau mengingatkan bahawa usaha menarik pelaburan asing tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan tadbir urus yang baik, pematuhan undang-undang serta kepentingan negara.

Menurutnya, keyakinan pelabur antarabangsa sebenarnya bergantung kepada kewujudan sistem yang telus, konsisten dan berintegriti, malah ketelusan merupakan asas penting kepada pelaburan yang mampan.

Sehubungan itu, Wawasan Johor menggesa kerajaan menamatkan siasatan secara menyeluruh sebelum mengumumkan hasilnya kepada orang ramai bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan keyakinan awam.

Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan kerangka dasar serta garis panduan yang lebih jelas terhadap mana-mana komuniti antarabangsa, pusat inovasi atau komuniti baharu yang ingin beroperasi di Malaysia.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan setiap operasi mematuhi undang-undang negara, menghormati nilai masyarakat tempatan serta tidak bercanggah dengan dasar keselamatan negara.

“Malaysia perlu terus terbuka kepada pelaburan dan inovasi, namun keterbukaan itu mesti sentiasa berteraskan kedaulatan negara, keluhuran undang-undang dan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Parti Wawasan Johor akan terus memantau perkembangan siasatan berhubung isu berkenaan dan berharap semua persoalan yang masih berbangkit dapat dijawab secara terbuka bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.

BBerkaitan

Latest articles