KWAP Tidak Terjejas Besar Akibat Kes eFishery, Pencen Penjawat Awam Kekal Terjamin

KUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, tidak menjejaskan kedudukan kewangan dana persaraan itu mahupun keupayaannya untuk terus menampung pembayaran pencen penjawat awam.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, menegaskan dakwaan kononnya KWAP hampir muflis susulan pelaburan berkenaan adalah tidak benar dan mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, jumlah keseluruhan dana KWAP pada 2025 mencecah RM195 bilion, manakala pada tahun sebelumnya dana itu merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM18 bilion berdasarkan laporan audit terakhir.

Beliau menjelaskan, nilai keseluruhan pelaburan dalam eFishery adalah terlalu kecil berbanding saiz dana KWAP, iaitu kurang satu peratus daripada pendapatan pelaburan KWAP pada 2024 dan kurang 0.1 peratus daripada keseluruhan aset dana pada 2025.

“Fakta ini menunjukkan pelaburan berkenaan tidak memberi impak besar terhadap kedudukan kewangan KWAP,” katanya menerusi hantaran video di Facebook, hari ini.

Mengulas kebimbangan orang ramai mengenai pembayaran pencen, Tengku Zafrul menjelaskan KWAP beroperasi berbeza daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana penjawat awam tidak mempunyai akaun simpanan individu yang akan terjejas akibat kerugian sesuatu pelaburan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tetap bertanggungjawab membayar pencen penjawat awam seperti biasa tanpa mengira apa yang berlaku terhadap pelaburan eFishery.

Pada masa sama, beliau memperbetulkan dakwaan bahawa kerugian mencecah RM200 juta dengan menjelaskan jumlah sebenar kerugian adalah RM163 juta.

Katanya, KWAP tidak akan berdiam diri dan akan menggunakan semua saluran perundangan serta komersial yang ada bagi mendapatkan semula sebanyak mungkin dana yang hilang.

“RM163 juta itu tetap wang awam. Setiap sen yang boleh dipulihkan akan dikejar. Jika wujud unsur kecuaian atau salah laku, tindakan sewajarnya mesti diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Kita tidak akan menyorokkan kegagalan, tetapi jangan pula mengelirukan rakyat dengan dakwaan bahawa KWAP hampir bankrap sehingga pencen penjawat awam tidak dapat dibayar,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan keputusan KWAP untuk melabur dalam eFishery dibuat mengikut proses penilaian dan tadbir urus yang ditetapkan berdasarkan maklumat yang tersedia ketika itu.

Menurut beliau, pelaburan berkenaan turut disokong oleh pengesahan penyata kewangan syarikat daripada juruaudit antarabangsa bertauliah selain melalui proses usaha wajar bebas oleh konsortium pelabur, termasuk KWAP, sebelum keputusan pelaburan dibuat.

KWAP dilaporkan melabur AS$47.7 juta, bersamaan kira-kira RM200 juta, dalam eFishery pada Julai 2023 ketika syarikat pemula niaga itu dipromosikan sebagai peneraju teknologi akuakultur yang mampu mentransformasikan industri penternakan ikan dan udang di Indonesia.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudiannya terpalit skandal apabila pengasas bersamanya, Gibran Huzaifah, dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun oleh mahkamah di Bandung tahun lalu selepas didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

BBerkaitan

Latest articles