KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengucapkan tahniah kepada Sepanyol selepas pasukan itu muncul juara Piala Dunia FIFA 2026.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Bang Mat berkata, kejayaan La Roja itu pastinya menggembirakan ramai penyokong Sepanyol, termasuk dirinya.
“Fuh, mesti ramai penyokong Sepanyol tersenyum lebar pagi ini. Bang Mat pun sama.
“Tahniah buat Sepanyol sebab berjaya muncul juara Piala Dunia FIFA 2026. Memang berbaloi betul berjaga awal pagi tadi,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkata, perlawanan akhir itu berlangsung sengit dan mendebarkan dengan kedua-dua pasukan mempamerkan aksi terbaik.
Bagaimanapun, Sepanyol akhirnya berjaya mengatasi lawan untuk menjulang trofi berprestij berkenaan.
“Perlawanan akhir yang cukup mendebarkan. Kedua-dua pasukan pun hebat, tetapi akhirnya La Roja juga yang berjaya menjulang trofi.
“Tahniah Sepanyol,” katanya.
Awal pagi ini, Sepanyol muncul juara Piala Dunia 2026 selepas menewaskan juara bertahan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium New York New Jersey pada Ahad.
Ferran Torres muncul wira Sepanyol apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-106 untuk menghadiahkan gelaran dunia kedua buat La Roja selepas kejayaan pertama mereka pada edisi 2010 di Afrika Selatan.










