SEREMBAN: Presiden Parti Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengingatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak melupakan sejarah apabila melabel PAS sebagai parti “toksik”, sambil menegaskan bekas perdana menteri itu tidak mungkin menjadi ketua kerajaan tanpa sokongan parti berkenaan.
Menurut Hamzah, tuduhan yang dilemparkan Muhyiddin terhadap PAS adalah tidak wajar kerana mengabaikan peranan besar parti itu dalam membentuk kerajaan dan mengangkat beliau ke jawatan Perdana Menteri.
Beliau berkata, selain PAS, sokongan UMNO ketika itu juga memainkan peranan penting dalam laluan politik Muhyiddin ke Putrajaya.
“Macam mana dia boleh kata toksik? Tanpa PAS, Muhyiddin tidak boleh menjadi perdana menteri. Tanpa UMNO, Muhyiddin juga tidak boleh menjadi perdana menteri.
“Maka janganlah menuduh orang toksik. Kita kena ingat sejarah bagaimana parti-parti lain membantu kita sehingga kita boleh menjadi perdana menteri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan Ampangan.
Hamzah turut menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) bukan milik mutlak Bersatu, sebaliknya dibina atas kerjasama beberapa parti yang berkongsi matlamat politik.
Sehubungan itu, beliau berkata, setiap komponen perlu menghormati sumbangan antara satu sama lain dan mengutamakan usaha memperkukuhkan gabungan, bukannya mencetuskan pertelingkahan atau melemparkan tuduhan yang boleh meretakkan hubungan.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap dakwaan Muhyiddin sebelum ini bahawa PN kini telah menjadi “toksik” dan terpesong daripada perjuangan asal di bawah kepimpinan PAS.
Bekas Perdana Menteri itu turut mendakwa PAS menyebarkan tuduhan tidak benar serta fitnah terhadap kepimpinan Bersatu sebagai usaha meminggirkan parti tersebut dalam gabungan berkenaan.
Muhyiddin juga menjadikan kemelut politik di Perlis sebagai contoh, dengan mendakwa krisis berkenaan berpunca daripada kesilapan kepimpinan PAS sendiri sehingga akhirnya jawatan Menteri Besar beralih kepada wakil Bersatu.










