Marzuki: Bersatu Sengaja Disekat Guna Logo PN, Bidas Kritikan Annuar

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad membalas kritikan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa dengan mendakwa keputusan Bersatu bertanding menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuat selepas parti itu didakwa tidak diberi ruang bertanding atas logo gabungan berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, Marzuki mendakwa terdapat pihak dalam PN yang sejak awal tidak berniat membenarkan Bersatu menggunakan lambang gabungan itu, sekali gus menyebabkan parti berkenaan memilih untuk bergerak dengan identitinya sendiri.

Beliau mengibaratkan situasi itu seperti seorang tuan rumah yang mengunci tetamu di dalam bilik, kemudian menyalahkan tetamu berkenaan apabila bertindak memecahkan pintu untuk membebaskan diri.

“Dalam keadaan itu, yang bersalah bukan orang yang memecahkan pintu, tetapi pihak yang mengurungnya. Itulah sifat pembuli,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap dakwaan Annuar semalam bahawa Bersatu memilih untuk ‘mufaraqah’ daripada PN pada PRN Negeri Sembilan selepas mengumumkan akan bertanding menggunakan lambang parti.

Menurut Annuar, Bersatu sebelum ini memohon untuk bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun hasrat itu tidak dapat dipenuhi memandangkan PN dianggotai enam parti, selain jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada gabungan itu lebih kecil daripada jumlah yang diminta.

Beliau turut mendakwa keputusan Bersatu bertanding menggunakan lambang sendiri memberi kebebasan kepada parti itu untuk meletakkan calon di lebih banyak kerusi, selain menyifatkan tindakan berkenaan sebagai bertentangan dengan usaha memperkukuh penyatuan Melayu.

Bagaimanapun, Marzuki menegaskan permintaan jumlah kerusi yang tinggi adalah perkara biasa dalam rundingan pembahagian kerusi pilihan raya dan lazimnya akan diselaraskan melalui proses perbincangan.

Katanya, isu sebenar bukanlah jumlah kerusi yang diminta, sebaliknya rundingan bersama Bersatu didakwa dihentikan tanpa alasan yang munasabah.

“Dalam rundingan, minta 15 kerusi tetapi akhirnya mungkin dapat lima atau enam kerusi. Itu perkara biasa. Masalahnya, rundingan dihentikan sebelum sebarang persetujuan dicapai,” katanya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa Bersatu menjadi punca perpecahan penyatuan Melayu dengan membandingkan hubungan PAS dan UMNO yang telah lama bersaing dalam politik tanpa pernah dilabel sebagai pihak yang memecah-belahkan orang Melayu.

Sementara itu, Annuar tidak menjelaskan sebab PN dikatakan mempunyai kurang daripada 15 kerusi untuk diagihkan kepada Bersatu, sedangkan Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkembangan itu mencetuskan spekulasi bahawa Barisan Nasional (BN), yang sudah mengumumkan calon bagi 25 kerusi, bakal menjalinkan kerjasama dengan beberapa komponen PN termasuk PAS dan Parti Wawasan Negara yang dipimpin Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan Bersatu, namun kedua-dua parti masih kekal berada dalam PN dan menggunakan lambang gabungan itu pada PRN Johor sebelum ini. Dalam pilihan raya berkenaan, kedua-dua parti juga tidak berkempen antara satu sama lain, malah PAS mengarahkan penyokongnya memberi undi kepada BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.

BBerkaitan

Latest articles