KUALA PILAH: Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berjaya memperkukuh kedudukan kewangan negeri dengan simpanan tunai kini mencecah RM1.3 bilion, hasil pengurusan yang cekap sejak mengambil alih pentadbiran pada 2018.
Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pencapaian itu menjadi bukti keberkesanan tadbir urus kerajaan negeri yang turut menyaksikan peningkatan hasil pendapatan serta pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan.
Menurut beliau, keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik Negeri Sembilan turut diterjemahkan menerusi rekod pelaburan tertinggi sebanyak RM19.1 bilion yang dicatatkan pada tahun lalu.
“Pendapatan negeri terus meningkat dari tahun ke tahun. Pelaburan sebanyak RM19.1 bilion yang direkodkan tahun lalu adalah yang tertinggi dalam sejarah negeri dan membuktikan keyakinan pelabur terhadap kerajaan yang stabil.
“Apabila kerajaan stabil, ekonomi juga akan berkembang dengan lebih pesat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dataran Melang, malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan-Timbalan Pengerusi PH, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Anthony Loke Siew Fook, selain barisan kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Mengulas perancangan pembangunan negeri, Aminuddin berkata Negeri Sembilan bakal menjadi lokasi pelabuhan kecerdasan buatan (AI) pertama di Malaysia yang akan dibangunkan di Pasir Panjang, Port Dickson.
Katanya, projek pelaburan swasta yang dijalankan dengan kerjasama Menteri Besar Incorporated (MBI) itu dianggarkan bernilai RM3.4 bilion dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut merancang pembangunan kawasan perindustrian bebas cukai seluas 1,400 ekar yang dijangka mewujudkan lebih 5,000 peluang pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata prestasi kutipan zakat Negeri Sembilan turut menunjukkan peningkatan ketara apabila meningkat daripada sekitar RM80 juta ketika beliau mula mentadbir negeri kepada RM200 juta pada masa ini.
Menurutnya, peningkatan kutipan itu membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan bagi tujuan pendidikan dan kebajikan rakyat.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memperkenalkan pembiayaan penuh bagi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi mengurangkan beban kewangan pelajar.
“Dulu ada pelajar TVET yang menanggung hutang antara RM6,000 hingga RM10,000 selepas tamat pengajian. Kini kerajaan negeri menyediakan pembiayaan percuma supaya mereka dapat melanjutkan pengajian tanpa dibebani hutang,” katanya.
Sehubungan itu, Aminuddin menggesa rakyat Negeri Sembilan terus memberikan mandat kepada PH pada PRN akan datang bagi membolehkan pelaksanaan pelan pembangunan negeri diteruskan dan diperluaskan ke daerah lain termasuk Kuala Pilah, Jempol, Jelebu serta Tampin.










