Jangan Tunggang Isu Adat Demi Kuasa Politik – Amirudin

​KUALA PILAH: Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari memberi amaran keras kepada pihak lawan agar tidak mempolitikkan atau “menunggang” isu berkaitan institusi adat di Negeri Sembilan semata-mata untuk merampas kuasa pemerintahan negeri secara tidak beretika.

​Tegas beliau, keunikan dan kedaulatan Adat Perpatih yang menjadi tiang seri keharmonian Negeri Sembilan tidak wajar dicemari dengan taktik kotor politik yang cuba mengeksploitasi sebarang kekeliruan pentadbiran atau adat demi kepentingan peribadi dan perebutan kuasa.

​”Makar atau ‘manoeuvring’ politik yang cuba dilakukan ketika ini, dengan mengambil kesempatan dan mengatasnamakan kekeliruan sedikit yang berlaku dalam urusan adat untuk merampas kerajaan dengan cara tidak berhemah, adalah perbuatan yang tidak bermaruah,” katanya.

​Beliau berkata demikian ketika berucap di dalam Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang berlangsung di Dataran Melang, malam tadi.

​Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor menekankan bahawa sekiranya terdapat salah faham atau kekeliruan dalam urusan adat, ia sepatutnya diselesaikan mengikut saluran adat dan undang-undang yang betul serta harmoni, bukannya dijadikan senjata politik untuk mencetuskan ketidakstabilan.

​Sambil menolak cubaan sabotaj kestabilan tersebut, Amirudin mengingatkan rakyat bahawa PH datang dengan rekod prestasi (track record) yang terbukti cemerlang sejak tahun 2008, 2013, 2018 sehinggalah pembentukan Kerajaan Perpaduan pada tahun 2022.

​Di Negeri Sembilan sendiri, di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, gabungan tersebut telah membuktikan keupayaan melonjakkan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti tinggi, serta membela kebajikan rakyat tanpa meminggirkan nilai budaya tempatan.

​Menyentuh mengenai persiapan menghadapi hari penamaan calon dan kempen pilihan raya yang akan datang, Amirudin menyeru seluruh jentera parti, aktivis, dan penyokong agar bergerak sebagai satu pasukan yang padu (solid) demi mempertahankan maruah politik berintegriti.

​”Kita mengambil jalan bermaruah. Kita kembalikan kuasa kepada rakyat untuk memilih. Pilihan raya ini akan menjadi suara sebenar rakyat Negeri Sembilan untuk menentukan sama ada mahu mempertahankan kestabilan atau membiarkan negeri ini terjebak dalam kancah perpecahan,” tegasnya.

BBerkaitan

Latest articles