MELAKA: DAP Melaka mengumumkan penarikan diri daripada kerajaan negeri selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan pelantikan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu dibuat kerana parti berkenaan berpendirian bahawa pindaan tersebut bercanggah dengan prinsip demokrasi yang menghendaki wakil rakyat dipilih menerusi mandat rakyat, bukannya dilantik.
Menurutnya, susulan keputusan itu, dua Exco kerajaan negeri, dua Timbalan Exco serta Timbalan Speaker DUN daripada DAP akan melepaskan jawatan masing-masing dalam pentadbiran negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Beliau menjelaskan parti itu tidak mempertikaikan keperluan mendapatkan kepakaran golongan profesional dalam pentadbiran kerajaan, namun menegaskan mereka tidak sepatutnya diberikan kedudukan sebagai ADUN yang mempunyai hak bersidang dan mengundi di dalam DUN.
“Kami tidak menafikan keperluan mendapatkan khidmat golongan profesional dan pakar, tetapi mereka tidak seharusnya dilantik sebagai ADUN yang mempunyai kuasa untuk bersidang dan mengundi dalam DUN,” katanya pada sidang media, hari ini.
Empat wakil rakyat yang akan mengosongkan jawatan dalam pentadbiran negeri ialah Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Allex Seah Shoo Chin (Kesidang), Timbalan Speaker DUN, Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), serta dua Timbalan Exco, Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Banda Hilir).
Khoo turut memaklumkan bahawa semua ahli DAP yang memegang jawatan lantikan dalam agensi kerajaan negeri, termasuk sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan, akan meletakkan jawatan secara berperingkat.
Mengulas dakwaan bahawa tindakan itu dipengaruhi prestasi hambar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Khoo menegaskan keputusan berkenaan dibuat semata-mata sebagai bantahan terhadap pindaan undang-undang tersebut.
“Jika rang undang-undang ini dibentangkan pada Mac, kami akan keluar pada Mac. Jika ia dibentangkan pada Oktober, kami akan keluar pada Oktober.
“Keputusan ini langsung tiada kaitan dengan PRN Johor,” katanya.
DAP sebelum ini menyertai pentadbiran kerajaan negeri Melaka yang dibentuk bersama BN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021.










