MELAKA: Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini meluluskan pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri yang membuka laluan kepada pelantikan sehingga tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.
Pindaan berkenaan berjaya memperoleh majoriti dua pertiga apabila disokong 23 ADUN, manakala lima lagi mengundi menentangnya.
Cadangan pindaan itu dikemukakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum disokong EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Ketika membentangkan usul, Ab Rauf menjelaskan pelaksanaan mekanisme ADUN lantikan bertujuan memperkukuhkan fungsi badan legislatif negeri dengan membawa masuk individu yang memiliki kepakaran dan pengalaman dalam bidang strategik.
Beliau berkata, golongan berpengalaman dalam sektor seperti perundangan, ekonomi, pendidikan, pelaburan, teknologi serta pembangunan negeri mampu memberikan pandangan lebih menyeluruh dalam proses menggubal dasar dan membahaskan isu-isu berkaitan kepentingan rakyat.
Menurutnya, pindaan itu juga memberi peluang kepada kelompok yang kurang mendapat tempat dalam politik pilihan raya untuk turut menyertai proses membuat dasar di peringkat negeri.
Katanya, wanita, belia, Orang Asli, komuniti minoriti, golongan profesional serta wakil industri antara kumpulan yang berpotensi mendapat manfaat daripada pelaksanaan ADUN lantikan, sekali gus memastikan suara lebih pelbagai dapat diketengahkan dalam DUN.
Beliau berkata langkah itu diyakini akan memperkukuhkan sistem pentadbiran negeri melalui penyertaan lebih inklusif dan berasaskan kepakaran.










