DAP Dakwa Undi PN Alih Arah Ke BN Punca Tewas Kerusi Johor Jaya, Perling

KUALA LUMPUR: DAP mendakwa peralihan sokongan pengundi Perikatan Nasional (PN) kepada Barisan Nasional (BN) menjadi antara faktor utama kekalahan parti itu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Perling pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, walaupun calon DAP di kedua-dua kerusi itu berjaya memperoleh jumlah undi yang lebih tinggi berbanding PRN Johor 2022, ia masih tidak mencukupi untuk mengekalkan kemenangan susulan berlakunya pemindahan undi daripada penyokong PN kepada BN.

Menurut beliau, keputusan itu membolehkan MCA merampas DUN Johor Jaya dengan majoriti 7,268 undi, manakala MIC menawan DUN Perling menerusi majoriti 1,611 undi.

Pada PRN Johor 2022, DAP mempertahankan Johor Jaya dengan majoriti 1,922 undi mengatasi calon MCA, manakala PN ketika itu berada di kedudukan ketiga selepas memperoleh 8,307 undi.

Situasi sama turut berlaku di Perling apabila DAP menang dengan majoriti 3,347 undi ke atas MCA, sementara PN meraih 8,829 undi, sekali gus menunjukkan pengaruh besar gabungan itu di kawasan berkenaan.

Mengulas prestasi keseluruhan parti, Teo berkata DAP akan menjalankan penelitian menyeluruh terhadap faktor kekalahan di beberapa kerusi lain termasuk Jementah dan Tangkak, selain menilai kelemahan yang perlu diperbaiki.

“Kita akan meneliti faktor lain yang menyebabkan kekalahan DAP di Jementah, Tangkak dan kawasan lain, selain mengambil iktibar daripada keputusan ini serta memperbaiki kelemahan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, DAP menerima keputusan PRN Johor dengan hati terbuka serta menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat.

“DAP menerima keputusan ini dengan rendah hati dan menghormati keputusan rakyat Johor. Keputusan ini memberi mesej jelas kepada kami untuk melakukan yang lebih baik,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, DAP hanya berjaya memenangi enam kerusi berbanding 10 kerusi pada pilihan raya negeri 2022, selepas kehilangan empat kubu kuat kepada MCA dan MIC, termasuk Johor Jaya serta Perling yang dikuasai parti itu sekurang-kurangnya sejak dua penggal lalu.

BBerkaitan

Latest articles