KUALA LUMPUR: Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan kesemua calonnya yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor gagal memperoleh semula deposit selepas tidak mencapai ambang minimum undi yang ditetapkan.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, parti itu meletakkan calon di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keputusan rasmi menunjukkan setiap calon hanya meraih sekitar tiga hingga enam peratus daripada keseluruhan undi.
Menurutnya, pencapaian tersebut menyebabkan semua calon Bersama hilang deposit kerana gagal memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi.
“Semua calon Bersama hilang deposit kerana gagal memperoleh sekurang-kurangnya 12.5% undi,” katanya menerusi hantaran di platform X pada malam Sabtu.
Beliau turut mengakui keputusan itu bermakna Bersama tidak berjaya mencapai sasaran awal parti untuk meraih sekurang-kurangnya 15 peratus undi di setiap kerusi yang ditandingi.
Mengikut peraturan pilihan raya, seseorang calon hanya layak mendapatkan semula deposit sekiranya memperoleh sekurang-kurangnya satu perlapan atau 12.5 peratus daripada jumlah undi yang dikira.
Dalam pada itu, Rafizi berkata analisis awal terhadap keputusan PRN Johor menunjukkan berlaku peralihan sokongan pengundi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN), melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan kaum.
Katanya, perubahan corak pengundian itu bukan sahaja memberi kelebihan kepada BN, malah memberi kesan kepada prestasi semua parti lain yang bertanding.
“Peralihan itu memberi kesan kepada semua calon parti lain, sama ada daripada Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Bersama atau Muda,” katanya.
PRN Johor yang berlangsung semalam menyaksikan BN mencatat kemenangan besar apabila menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.










