Formula BN, Kestabilan Kepimpinan Kunci Kebangkitan Menuju PRU16

KUALA LUMPUR: Kejayaan besar Barisan Nasional (BN) mencatatkan kemenangan cemerlang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan sekadar satu pencapaian politik, malah ia membawa beberapa pengajaran penting demi masa depan gabungan itu.

​Pemerhati politik, Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, terdapat dua iktibar utama yang perlu dihadam oleh parti teras gabungan itu, khususnya UMNO.

“​Pertama, UMNO perlu terus mengekalkan kestabilan kepimpinan yang kukuh seumpama yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika ini.

​”Ini sangat penting kerana ia memberi keyakinan bukan sahaja kepada ahli parti dan rakan komponen, malah kepada para pengundi,” katanya.

​Faktor kedua yang tidak kurang pentingnya adalah keperluan untuk UMNO terus memahami dan menerima hakikat bahawa ‘Formula BN’ merupakan satu pendekatan yang telah terbukti mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

​Jahaberdeen, yang juga seorang peguam, menegaskan rentetan sejarah membuktikan kejayaan BN sentiasa dibina atas semangat kerjasama, perkongsian kuasa, serta amalan kesederhanaan, bukannya bersandarkan kepada retorik perkauman yang sempit.

​Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar seluruh kepimpinan parti mengambil iktibar daripada peristiwa Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 yang lalu.

​ ​”Pengalaman PRU 2008 seharusnya menjadi iktibar apabila wujud tanggapan (ketika itu) bahawa UMNO tidak lagi memerlukan parti komponen seperti MCA atau MIC. Kesilapan persepsi tersebut akhirnya menyumbang kepada berlakunya tsunami politik yang merubah landskap kepimpinan negara,” jelas beliau lagi.

​Mengulas lanjut mengenai hala tuju masa hadapan, Jahaberdeen optimis bahawa BN mampu kembali mengemudikan pentadbiran negara sekiranya formula asal ini terus dipertahankan.

​”Sekiranya kepimpinan Ahmad Zahid terus mengekalkan pendekatan yang menghargai formula BN, serta mengembalikan semangat asal perjuangan UMNO untuk membela kepentingan rakyat Malaysia melalui gagasan BN, tidak mustahil gabungan ini mampu kembali membentuk Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles