KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyifatkan pendekatan kempen yang menumpukan kepada mesej positif dan penyelesaian isu rakyat sebagai antara faktor utama di sebalik kemenangan besar gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan pilihan raya itu membuktikan rakyat lebih cenderung menyokong kempen yang menawarkan kestabilan, penyelesaian dan hala tuju pentadbiran berbanding retorik atau politik kebencian.
Menurutnya, strategi tersebut turut mengambil kira perubahan landskap komunikasi digital yang semakin dipengaruhi algoritma media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Pendekatan itu selari dengan algoritma media sosial yang lebih mengutamakan kandungan positif.
“Dalam era kecerdasan buatan (AI), parti yang mampu memahami data, sentimen dan algoritma akan mempunyai kelebihan dalam merangka strategi bagi memenangi hati rakyat.
“AIRA (AI Chatbot BN) turut membantu pengundi mendapatkan maklumat asas mengenai calon, manifesto dan tawaran BN,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Azalina berkata kemenangan besar BN pada PRN Johor merupakan isyarat jelas bahawa rakyat mahukan kesinambungan kestabilan politik, kemajuan negeri dan pentadbiran yang berkesan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang disifatkannya berjaya memimpin jentera parti dengan strategi yang tersusun sepanjang kempen.
Katanya, keputusan itu juga membuktikan BN masih kekal sebagai sebuah kuasa politik yang tidak boleh dipandang ringan.
Bagaimanapun, Azalina mengingatkan kemenangan tersebut bukan alasan untuk berpuas hati, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha yang lebih gigih dalam memenuhi amanah rakyat.
“Kemenangan ini bukan untuk dibanggakan secara berlebihan.
“Ia adalah amanah untuk kita bekerja dengan lebih baik, lebih kuat dan lebih bersama, termasuk di peringkat Persekutuan,” katanya.










