KUALA LUMPUR — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, sambil berharap amanah itu dapat dipikul sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.
Menerusi kenyataan di media sosial hari ini, Anwar berkata proses pilihan raya telah selesai dan kini tiba masanya untuk semua pihak memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Johor serta mengutamakan khidmat kepada rakyat.
“Tahniah kepada Barisan Nasional atas mandat yang diberikan rakyat Johor. Semoga amanah ini dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat serta bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi dan rakyat Johor yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka, selain menghargai pengorbanan jentera parti yang bekerja keras sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
Beliau berkata semua calon Pakatan Harapan (PH), sama ada yang menang atau tewas, diminta meneruskan khidmat kepada masyarakat dan terus membawa suara rakyat.
“Tekad kami jelas, semua calon HARAPAN, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Anwar memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus komited memperkasa agenda pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor.
“Kerajaan Persekutuan juga kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa dan ditambah baik, insya-Allah,” katanya.










