PH Hormati Keputusan PRN Johor, Komited Perkukuh Peranan Pembangkang

KUALA LUMPUR,— Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 dan berikrar akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang berwibawa di Dewan Negeri Johor.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata berdasarkan pengiraan terkini yang dilaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PH memenangi lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), terdiri daripada enam kerusi DAP, satu kerusi KEADILAN dan satu kerusi AMANAH, sementara menunggu pengumuman rasmi penuh oleh SPR.

Beliau berkata, mandat yang diberikan rakyat akan dijadikan asas untuk PH terus menyuarakan isu-isu rakyat serta menawarkan penyelesaian terhadap pelbagai masalah asas yang masih belum diselesaikan di negeri itu.

“Suara rakyat Johor akan mendorong Pakatan Harapan untuk menjalankan tanggungjawab di dalam Dewan Negeri Johor dengan penuh berwibawa dan berintegriti demi menyuarakan permasalahan rakyat serta menawarkan solusi kepada isu-isu asas yang masih belum diselesaikan.

“Denyut nadi rakyat tidak akan sesekali dipandang ringan, sebaliknya akan menjadi garis ukur dalam merencana langkah ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Amirudin, PH komited melaksanakan tanggungjawab sebagai pembangkang yang konstruktif dengan memantau pelaksanaan dasar dan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor secara lebih rapat dan konsisten demi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira lokasi.

Beliau berkata keputusan PRN Johor turut menjadi isyarat kepada seluruh anggota dan jentera PH supaya memperkukuhkan gerak kerja organisasi, memperluaskan usaha mendekati rakyat Johor serta membuat persiapan lebih awal menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 dan Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan Ke-16.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Johor yang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi serta mengucapkan tahniah kepada petugas SPR, anggota keselamatan, pengamal media, sukarelawan dan semua pihak yang bertugas sepanjang proses pilihan raya.

Katanya, kerjasama semua pihak telah memastikan PRN Johor Ke-16 berlangsung dengan lancar, teratur dan harmoni.

BBerkaitan

Latest articles