Zaid Ibrahim Desak Azalina Dedah Rekod Saham Azam Baki

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, mempersoalkan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, yang enggan mendedahkan rekod pemilikan saham bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.

Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, Zaid berkata beliau tidak melihat sebarang alasan untuk maklumat itu terus dirahsiakan memandangkan siasatan mengenainya telah selesai.

Menurutnya, rekod pemilikan saham syarikat sememangnya disimpan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, justeru beliau mempersoalkan aspek kerahsiaan yang masih perlu dipertahankan kerajaan.

“Dari sudut kebertanggungjawaban, menteri sepatutnya memberikan jawapan yang sewajarnya kepada soalan yang dibangkitkan di Parlimen,” katanya.

Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap jawapan bertulis Azalina di Parlimen yang memaklumkan rekod pemilikan saham Azam bukan dokumen awam dan tidak boleh didedahkan.

Jawapan tersebut diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, yang meminta kerajaan menyenaraikan urus niaga pembelian saham Azam dari tahun 2012 hingga 2026, termasuk tempoh nilai pegangan sahamnya melebihi RM100,000.

Menurut Azalina, maklumat yang diminta merupakan sebahagian daripada dokumen siasatan, maklumat peribadi serta pengisytiharan aset yang dilindungi di bawah undang-undang berkaitan, sekali gus tidak boleh diklasifikasikan sebagai dokumen awam.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu pemilikan dan pengisytiharan aset membabitkan Azam telah diteliti secara menyeluruh oleh satu pasukan petugas khas yang ditubuhkan pada Februari lalu.

Katanya, jawatankuasa itu menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional sebelum hasil dapatan dibentangkan kepada Kabinet, manakala tindakan sewajarnya telah diambil berdasarkan penemuan tersebut.

Azalina berkata, sebarang perkembangan atau keputusan rasmi yang wajar dimaklumkan kepada orang ramai akan diumumkan oleh pejabat Ketua Setiausaha Negara.

BBerkaitan

Latest articles