Universiti Michigan Raih RM2.5 Bil Setahun Hasil Pelajar Antarabangsa, Boleh Jadi Model IPTA Di Malaysia

KUALA LUMPUR: Universiti Michigan (UMich) di Amerika Syarikat dijadikan contoh bagaimana kehadiran pelajar antarabangsa mampu memperkukuh kedudukan kewangan dan kecemerlangan akademik sesebuah institusi pengajian tinggi.

Menurut perkongsian bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Nordin Kardi, UMich menjana kira-kira USD550 juta (RM2.5 bilion) setahun menerusi yuran pengajian dan yuran khas yang dibayar sekitar 9,000 pelajar antarabangsa.

Katanya, pelajar asing membayar yuran pengajian antara USD58,000 hingga USD64,000 setahun, sekali gus membantu universiti awam itu menampung kos operasi dan menyubsidi yuran lebih rendah yang dikenakan kepada pelajar tempatan di negeri Michigan.

Beliau berkata, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sahaja mengukuhkan kedudukan kewangan UMich, malah turut menyumbang lebih USD825 juta kepada ekonomi negeri melalui perbelanjaan sara hidup, sewa kediaman dan pengangkutan.

Menurut Nordin, majoriti pelajar antarabangsa di UMich mengikuti pengajian pascasiswazah dan penyelidikan, sekali gus menjadi pemacu kepada inovasi, penerbitan ilmiah berimpak tinggi serta peningkatan kedudukan universiti dalam penarafan global.

Nordin turut memaklumkan dana endowmen UMich kini mencecah USD21.2 bilion (RM99.6 bilion) dengan pulangan pelaburan sebanyak 15.5 peratus, menjadikannya antara universiti awam terkaya di dunia.

Dana itu disalurkan bagi membiayai biasiswa pelajar, fasiliti perubatan, sektor pengajaran serta penyelidikan, sekali gus memastikan universiti berkenaan mampu mengekalkan standard akademik bertaraf dunia.

Mengulas perkara itu, beliau berkata model yang diamalkan UMich wajar dijadikan inspirasi untuk memperbesar kapasiti universiti di Malaysia, termasuk UPM, melalui peningkatan bilangan pelajar antarabangsa dan pengukuhan ekosistem pendidikan tinggi.

Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa langkah memperkasa universiti tempatan mampu melahirkan lebih ramai penyelidik bertaraf dunia, termasuk penerima Hadiah Nobel, sekiranya pembangunan sektor pendidikan tinggi terus diberi keutamaan.

BBerkaitan

Latest articles