Sultan Selangor Tidak Perkenan Surau Pusat Beli-Belah Anjur Solat Jumaat

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin yang menjelaskan ketetapan tersebut dibuat bagi memastikan fungsi masjid sebagai pusat utama ibadah, dakwah dan penyatuan umat Islam terus diperkukuhkan.

Menurut beliau, jika surau atau musala di pusat beli-belah dibenarkan mengadakan solat Jumaat secara meluas, ia dikhuatiri akan mengurangkan kehadiran jemaah di masjid dan surau yang telah diberi kebenaran sedia ada kerana orang ramai mempunyai lebih banyak pilihan lokasi untuk menunaikan ibadah itu.

Katanya, ketika ini Selangor mempunyai 448 masjid dan 379 surau yang telah mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat, dan jumlah tersebut dianggap mencukupi bagi menampung keperluan umat Islam di seluruh negeri.

“Selain itu, kebanyakan pusat beli-belah juga mempunyai masjid atau surau solat Jumaat yang terletak berhampiran, sekali gus memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Salehuddin turut menjelaskan bahawa pemberian kebenaran kepada surau atau musala di pusat beli-belah bukan hanya melibatkan aspek kemudahan, sebaliknya memerlukan pematuhan terhadap pelbagai syarat pentadbiran yang ditetapkan MAIS.

Antaranya ialah pelantikan imam, bilal dan petugas masjid yang dibuat oleh MAIS serta pemantauan terhadap pengurusan, tadbir urus dan pelaksanaan khutbah Jumaat yang seragam mengikut teks rasmi disediakan pihak berkuasa agama negeri.

Beliau berkata, sekiranya petugas tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan proses pemantauan dan kawalan terhadap pengurusan surau berkenaan, termasuk memastikan segala peraturan dipatuhi.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan terdapat sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor yang ketika ini dibenarkan mendirikan solat Jumaat, namun kelulusan itu hanya bersifat sementara kerana tiada masjid berhampiran kawasan tersebut.

Menurutnya, kebenaran itu akan ditarik balik apabila sebuah masjid dibina berhampiran yang mampu menampung keperluan penduduk Islam setempat.

Dalam pada itu, Salehuddin berkata keputusan Sultan Selangor adalah selaras dengan syiar Islam yang meletakkan masjid sebagai institusi utama ibadah, pusat penyebaran ilmu serta medan memperkukuh perpaduan umat.

Sehubungan itu, MAIS menyeru umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau yang telah diberi kebenaran agar institusi berkenaan terus memainkan peranan sebagai pusat komuniti Islam.

Mengulas cadangan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara, beliau berkata MAIS mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Hasan.

Namun, beliau menegaskan bahawa hal ehwal berkaitan masjid, surau dan musala berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri seperti diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Katanya lagi, di Selangor, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif untuk menentukan sebarang ketetapan berkaitan pentadbiran agama Islam, termasuk kelulusan mendirikan solat Jumaat di surau atau musala.

Beliau turut mengingatkan bahawa penubuhan masjid, surau atau penggunaan mana-mana bangunan sebagai tempat ibadah di Selangor hanya boleh dilakukan selepas memperoleh kebenaran bertulis daripada MAIS sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

BBerkaitan

Latest articles