KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mendakwa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal menjadi titik permulaan kepada gelombang penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH), sebelum sentimen sama dijangka merebak ke Negeri Sembilan dan seterusnya memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Menurut beliau, ramai pemimpin PH masih gagal menyedari perubahan sentimen pengundi, khususnya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di Semenanjung yang didakwanya semakin menjauh daripada gabungan itu.
“Saya fikir mereka masih belum merasai gelombang anti-PH yang sedang berlaku. Isyarat pertama mungkin akan dapat dilihat dalam PRN Johor Sabtu ini, sebelum ia berterusan di Negeri Sembilan dan akhirnya pada PRU akan datang,” katanya memetik laporan FMT selepas menghadiri majlis pelancaran Institut Dasar dan Libat Urus Asia di Universiti Nottingham Malaysia, ketika diminta mengulas kritikan terhadap ramalannya mengenai keputusan PRN Johor.
Sebelum ini, Ong mengunjurkan Barisan Nasional (BN) berpotensi meraih kemenangan besar dengan menguasai sehingga 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH dijangka hanya mampu mempertahankan tiga kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) berkemungkinan gagal memenangi sebarang kerusi.
Ramalan itu bagaimanapun disanggah Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim yang menyifatkannya sebagai sekadar andaian dan tidak semestinya mencerminkan keputusan sebenar di peti undi.
Mengulas lanjut, Ong berpendapat kekuatan BN ketika ini terletak pada naratif kempen yang lebih tersusun dan jelas, dengan memberi fokus kepada kepimpinan Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta usaha menampilkan barisan pemimpin yang dianggap berpengalaman untuk mentadbir negeri.
Sebaliknya, beliau berpandangan PH masih bergelut membina naratif yang meyakinkan apabila sehingga kini belum mengumumkan calon Menteri Besar sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri.
Pada PRN Johor 2022, BN memperoleh kemenangan selesa dengan menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, diikuti PH yang memenangi 12 kerusi, PN tiga kerusi dan Muda satu kerusi.










