Maszlee Jawab Isu Tol Percuma Simpang Renggam, Apam Basah Apam Kering

​JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik menyelar tindakan pihak lawan yang didakwa sengaja mengitar semula isu-isu lama terhadapnya kerana sudah ketandusan hujah politik.

​Beliau menegaskan, landskap politik baharu sepatutnya menjadi medan untuk berdebat mengenai polisi, manifesto dan tawaran kesejahteraan kepada rakyat, bukannya digunakan untuk menyerang peribadi seseorang calon menggunakan perkara yang sudah selesai.

​”Politik baru kita bincangkan tentang manifesto, kita bincangkan tentang polisi, kita bincangkan tentang apa yang kita boleh bawakan kepada rakyat.

​”Tapi bagi golongan yang sudahlah diajak untuk berdialog tak mahu, penakut, yang mereka lakukan ialah mencari isu-isu peribadi, cari cerita lama-lama yang sebenarnya kita sudah selesai dan tutup buku,” katanya.

​Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan penonton dalam program Dialog PRN Johor yang disiarkan secara langsung di TV1, RTM malam tadi.

​Dalam sesi dialog tersebut, Dr Maszlee diminta menjelaskan tiga sentimen utama yang sering digunakan oleh pihak lawan untuk menyerang beliau iaitu isu Tol Simpang Renggam, isu kasut hitam, dan isu lakonan filem (babak apam basah/kering).

​Menjelaskan mengenai janji Tol Simpang Renggam, Dr Maszlee mengingatkan bahawa ia adalah sebahagian daripada manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 di bawah kerajaan PH yang telah tumbang di pertengahan jalan.

​Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sikap berat sebelah pihak lawan yang terus membangkitkan isu tersebut tetapi dalam masa yang sama gagal menjawab kegagalan manifesto mereka sendiri.

​”Saya pun sudah minta maaf, dan mengapa mesti digali? Kerana kalau dibandingkan satu isu tol itu dengan 10 janji BN Johor pada tahun 2022 menjelang PRN, mereka (BN) tak laksanakan. Kenapa tak timbulkan isu tu? Kalau ingin berlaku adil, timbulkan isu tu dan jawab,” tegasnya.

​Mengenai isu kasut hitam yang sering dijadikan bahan jenaka oleh netizen di media sosial, bekas Menteri Pendidikan itu mempertahankan dasar tersebut dengan menyatakan bahawa majoriti ibu bapa sebenarnya menerima baik pelaksanaan itu demi kemudahan anak-anak.

​”Kembali kepada kasut hitam, kita boleh buat tanyalah kepada ibu bapa siapa yang tak setuju kasut hitam. Yang tak setuju hanya netizen, yang anak-anaknya sendiri pun pakai kasut hitam,” seloroh beliau sambil disambut huraian penonton.

​Sementara itu, menyentuh tentang kontroversi penglibatan lakonannya dalam sebuah filem Kudeta yang menyentuh dialog ‘apam basah, apam kering’, Dr Maszlee memaklumkan permohonan maaf telah dibuat secara terbuka dan pihak Astro juga telah diminta untuk memotong babak tersebut daripada tayangan.

BBerkaitan

Latest articles