​’Netizen, Gen Z Mahu Politik Matang’ – Dr Maszlee Ulas Isu Debat

JOHOR BAHRU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik mendedahkan bahawa desakan untuk mengadakan debat terbuka sebenarnya datang daripada anak muda, khususnya generasi Gen Z yang dahagakan pertembungan idea, dan bukannya gimik politik beliau.

​Dr Maszlee berkata, beliau sekadar menyahut cabaran netizen dan anak muda yang mahukan politik matang berasaskan hujah, bukannya sekadar kempen tradisi.

​”Ini bukan permintaan saya, tetapi ini permintaan netizen dan terutamanya daripada Gen Z. Generasi muda yang akan menentukan hala tuju negara, dunia, dan hala tuju Johor mahukan perdebatan ini berlaku,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Dialog PRN Johor yang disiarkan secara langsung di TV1, RTM malam tadi.

​Beliau mengulas mengenai dakwaan kononnya beliau beriya-riya mengajak Menteri Besar sementara yang juga calon Barisan Nasional (BN) DUN Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk berdebat sehingga menggunakan platform agensi kerajaan dan media.

​Mengulas mengenai kegagalan pertembungan tersebut selepas Onn Hafiz dilaporkan tidak dapat hadir atas komitmen awal, Dr Maszlee melahirkan rasa kesal terhadap lambakan alasan yang diberikan oleh pihak lawan, termasuk naratif bahawa debat bukan budaya tempatan.

​”Bila diajukan (kepada pihak sana), pelbagai alasan diberikan. Debat bukan budaya kitalah, begitulah, beginilah. Malah ada yang kata tak boleh debat sebab bukan dari DUN yang sama.

​”Saya kata, kalau tak nak debat dengan saya sebab beza DUN, pergilah debat dengan Nur Hafiz (calon PH DUN Machap) untuk bicarakan tentang DUN Machap. Tetapi isu sekarang, kita nak bicarakan tentang hala tuju negeri Johor,” jelas beliau lagi.

​Maszlee turut membandingkan landskap politik Malaysia dengan negara maju dan negara jiran, Indonesia, di mana debat politik adalah satu kemestian bagi menguji kredibiliti seseorang pemimpin.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk berdepan dengan calon-calon lain daripada parti berbeza di DUN Puteri Wangsa memandangkan tempoh berkempen berbaki tiga hari sahaja lagi, Dr Maszlee menegaskan pintu dialognya sentiasa terbuka.

​”Saya sentiasa terbuka untuk apa sahaja dialog dan perbincangan kerana kita menghargai pemikiran dan harga diri rakyat. Apa sahaja yang bertujuan mengangkat maruah dan intelek rakyat, saya akan setuju. Ini politik baru,” katanya.

​DUN Puteri Wangsa menyaksikan pertembungan sengit pelbagai penjuru dalam PRN Johor kali ini, menjadikannya antara kerusi tumpuan utama yang menjadi kayu ukur sokongan pengundi muda.

BBerkaitan

Latest articles