TANJUNG PIAI: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyindir tindakan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik yang mencadangkan sesi debat bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dengan menyifatkan cadangan itu tidak relevan.
Menurut beliau, PH kini dilihat semakin buntu mencari isu untuk menyerang Barisan Nasional (BN) selepas gagal menemukan kelemahan dalam pentadbiran kerajaan negeri Johor.
Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, pentadbiran negeri di bawah kepimpinan Onn Hafiz berada pada tahap memuaskan, manakala prestasi wakil rakyat BN turut menjadi penilaian terbaik kepada rakyat tanpa perlu diadakan debat.
“Mereka sudah kehabisan modal politik. Hendak berbahas tentang apa sedangkan kerajaan negeri berfungsi dengan baik dan wakil rakyat BN juga menjalankan tanggungjawab mereka.
“Kalau hendak berdebat sekali pun, bukan dengan menteri besar. Cukuplah dengan ketua bahagian,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program sarapan bersama jentera BN di Kukup, hari ini.
Sebelum ini, Maszlee menyatakan kesediaannya menyertai debat terbuka bersama Onn Hafiz dengan alasan ia mampu membuka ruang perbincangan dasar serta menyuburkan amalan politik yang lebih matang.
Bagaimanapun, Onn Hafiz menolak pelawaan tersebut dengan menjelaskan bahawa budaya politik di Johor lebih mengutamakan khidmat kepada rakyat berbanding perdebatan terbuka, selain kedua-dua mereka bertanding di kawasan berbeza iaitu DUN Puteri Wangsa dan DUN Machap.
Dalam perkembangan sama, Tok Mat turut menepis dakwaan pihak lawan yang cuba mengaitkan peluang kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan soal pembebasan seseorang kerana perkara itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta kuasa pengampunan.
Justeru, beliau mengingatkan pengundi supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan berunsur politik itu, selain meminta seluruh jentera BN terus bekerja keras dan tidak terlalu selesa meskipun terdapat tinjauan yang meramalkan kemenangan gabungan berkenaan.










