Anwar Nafi Kerajaan Bergantung Kepada Petronas, Dividen Hanya 6 Peratus Hasil Negara

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan Persekutuan tidak terlalu bergantung kepada dividen tahunan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebagai sumber utama pendapatan negara.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, dividen sebanyak RM20 bilion yang diterima daripada syarikat minyak dan gas nasional itu pada tahun ini hanya menyumbang sekitar lima hingga enam peratus daripada keseluruhan hasil kerajaan yang dianggarkan mencecah RM343.1 bilion.

Beliau menjelaskan, unjuran hasil tersebut terdiri daripada RM270.4 bilion hasil cukai dan RM72.7 bilion hasil bukan cukai, dengan dividen Petronas dikategorikan sebagai hasil bukan cukai.

“Sumber utama hasil kerajaan Persekutuan masih datang daripada kutipan cukai yang menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil, manakala dividen Petronas hanya sekitar lima hingga enam peratus. Ini membuktikan kerajaan tidak terlalu bergantung kepada prestasi Petronas,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang meminta penjelasan sama ada kerajaan semakin bergantung kepada Petronas susulan pengurangan dividen syarikat berkenaan daripada RM40 bilion pada 2023 kepada RM20 bilion tahun ini.

Dalam masa sama, Anwar berkata kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum bagi mengurangkan risiko turun naik harga minyak mentah di pasaran global.

Beliau memaklumkan hasil berkaitan petroleum pernah menyumbang sehingga 41.3 peratus daripada keseluruhan hasil kerajaan pada 2009, namun pelbagai langkah pembaharuan yang dilaksanakan sejak 2023 berjaya mengurangkan pergantungan tersebut.

Katanya, sumbangan hasil petroleum telah menurun daripada 28 peratus pada 2022 kepada 17.5 peratus pada 2025 dan dijangka terus susut kepada hanya 12.5 peratus pada 2026, selaras usaha kerajaan memperkukuh sumber pendapatan negara yang lebih mampan.

BBerkaitan

Latest articles