JOHOR BAHRU: Anak kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, iaitu Omar Hafidz mendedahkan beliau berdepan layanan mengecewakan apabila didakwa dilabel sebagai ‘spy’ ketika turun membantu kempen Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Omar, beliau dimaklumkan oleh seorang pemimpin bahagian bahawa kehadirannya dalam kempen calon BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu.
Lebih mengejutkan, katanya, terdapat arahan supaya mana-mana bahan kempen atau hantaran media sosial calon yang memaparkan gambarnya dipadamkan.
“Saya dimaklumkan ada pihak menganggap saya sebagai ‘spy’ kepada ayah saya. Malah, jika terdapat gambar saya bersama calon dalam mana-mana hantaran, ia diminta dikeluarkan,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Beliau mengakui perkara itu benar-benar mengecewakannya kerana hadir bukan untuk mengejar jawatan atau kepentingan tertentu, sebaliknya mahu membantu parti yang masih dianggap sebagai wadah perjuangannya.
Pendedahan itu dibuat tidak lama selepas bapanya, Puad, mengumumkan keluar daripada UMNO pada penghujung bulan lalu dengan alasan beliau tidak lagi dapat berdiam diri terhadap apa yang didakwanya sebagai ketiadaan autonomi UMNO Johor dalam membuat keputusan.
Susulan tindakan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum ini mendakwa Puad pernah mengugut untuk meninggalkan parti dan mengkritik kepimpinan secara terbuka sekiranya anaknya tidak dipilih sebagai calon BN bagi kerusi DUN Rengit.
Bagaimanapun, Omar menegaskan beliau menghormati keputusan bapanya meninggalkan UMNO, namun memilih untuk kekal setia bersama parti itu.
Beliau turut meluahkan kebimbangan bahawa budaya melabel dan menghukum ahli tanpa usul periksa hanya akan memberi kesan buruk kepada usaha parti menarik penyertaan golongan muda.
Katanya, pesanan yang sering diberikan bapanya menjadi pegangan dalam berpolitik, iaitu seseorang tidak seharusnya menghukum orang lain sebaliknya mengajak kepada kebaikan.
“Saya percaya prinsip itu bukan sahaja sesuai dalam dakwah, malah wajar diamalkan dalam politik. Jangan terus menghukum atau melabel seseorang sebelum memahami keadaan sebenar,” katanya.
Walaupun berdepan pelbagai tuduhan, Omar berkata beliau tidak berhasrat membalas dengan kebencian, sebaliknya mahu terus menyumbang kepada parti mengikut kemampuan yang ada.










