​‘Cina MCA Okay, Cina DAP No, Apa Ini?’ – Anwar Bidas Politik Dwi-Standard

TANGKAK: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas tindakan pihak tertentu yang masih menggunakan sentimen perkauman sempit dalam kempen politik mereka, termasuk melabelkan komuniti Cina berdasarkan parti politik.

​Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mendedahkan wujudnya cubaan dwi-standard yang ketara apabila ada pihak cuba menggambarkan kononnya masyarakat Cina daripada DAP sebagai ‘bahaya’, namun dalam masa yang sama memberikan persepsi berbeza terhadap MCA.

​”Pergi ke kampung Melayu (mereka kempen), ‘Jaga, negara ini dah habis Cina nak ambil.’ Tapi you tengok apa yang berlaku?

​”Apa kempen dia? ‘Hidup Melayu’, ‘Ketuanan Melayu’, ‘Ini Cina-Cina bahaya’. ‘Cina MCA, okay. Cina DAP, no.’ Apa ni?” katanya ketika berucap pada Jelajah Harapan di Tangkak, malam tadi.

​Mengulas lanjut, Anwar mempersoalkan integriti pemimpin yang lantang melaungkan retorik kaum, sedangkan mereka sendiri terpalit dengan kekayaan luar biasa hasil daripada budaya ‘sakau’.

​”Orang yang bercakap banyak pasal Melayu ini, tengok harta dia—RM2 bilion, RM1 bilion, curi sana, curi sini.

​”Tanya saya sebagai orang Melayu, saya tak mahu pemimpin itu jadi pemimpin! Saya nak Melayu yang baik, honest (jujur), tak korap jadi pemimpin! Saya nak Cina yang baik, tak korap jadi pemimpin! Apa tak boleh kah?” soalnya lagi.

​Tegas beliau, isu sebenar yang merosakkan negara bukanlah faktor kaum atau agama, melainkan budaya rasuah dan salah guna kuasa yang diamalkan oleh pemimpin terdahulu.

​Anwar turut menolak tohmahan kononnya kehadiran DAP dalam Kerajaan Perpaduan menjejaskan kedudukan Islam dan hak orang Melayu.

​Sebaliknya, beliau meminta masyarakat melihat kepada fakta sebenar, khususnya pentadbiran di Pulau Pinang.

​”Sejak DAP perintah di Pulau Pinang, peruntukan untuk badan Islam majlis agama jauh lebih tinggi daripada masa Barisan Nasional perintah dulu! Ya! Bacalah! Ini mengaji tak mahu, baca malas, orang kata bodoh marah,” tempelak beliau.

​Menurutnya lagi, sepanjang tiga setengah tahun beliau menerajui kerajaan, barisan menteri daripada DAP seperti Anthony Loke, Nga Kor Ming, dan Hannah Yeoh sentiasa menghormati dasar negara termasuk program melibatkan kepentingan umat Islam.

​”Tak ada kata, ‘Prime Minister, DAP tak setuju tolong Melayu.’ Tak ada. Kita buat program Islam, tak ada (yang bantah).

​”Kalau kamu angkat Melayu yang lembab, penakut, cakap di depan orang ramai nampak berani tapi memang pengecut, memang kamu akan tak dapat pimpin. Tapi kalau saya, pengalaman saya, kawan-kawan saya dalam DAP bukan problem (masalah). Problem itu yang corrupt (rasuah)!” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles