PRN Johor: Langkah Jadikan Anwar ‘Panglima Perang’ Undang Risiko Besar

KUALA LUMPUR: Langkah Pakatan Harapan (PH) meletakkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘panglima perang’ utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai satu tindakan yang mengundang risiko besar buat landskap politik beliau dan parti.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pertembungan di Johor menyaksikan perbezaan ketara dari segi profil apabila Barisan Nasional (BN) dan UMNO pula mempertaruhkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai jeneral di baris hadapan.

Menurutnya, kedudukan Anwar sebagai ketua kerajaan pusat berbanding Onn Hafiz yang memimpin kerajaan negeri meletakkan satu pertaruhan yang tidak seimbang dan berbahaya buat Perdana Menteri.

“Di sinilah letaknya risiko yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim. Kalau PH menang, Anwar tetap jadi Perdana Menteri. Tetapi rakyat melihat bukanlah sesuatu yang menghairankan atau ajaib jika PH menang dalam pilihan raya Johor ini kerana Perdana Menteri kelihatan aktif berkempen hampir setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, impak yang jauh lebih besar akan berlaku sekiranya Onn Hafiz—yang dari segi usia jauh lebih muda—berjaya melakar kejutan memenangi PRN Johor dan membentuk kerajaan.

Ujarnya, kemenangan sedemikian bukan sahaja mengubah landskap politik negara, malah bakal melonjakkan nama Onn Hafiz sebagai tokoh nasional yang berpotensi besar.

“Kejayaannya di PRN Johor, jika benar-benar berlaku, menjadikan Onn Hafiz Ghazi satu bintang baru dari Selatan untuk bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia yang akan datang,” jelas beliau.

Hassan turut memberi amaran bahawa kekalahan PH di Johor akan memberi tamparan hebat kepada reputasi Anwar, terutama dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Jika PH ditakdirkan tewas dalam PRN Johor kali ini, kesannya sangat buruk.

“Imej Anwar Ibrahim sebagai panglima perang yang dapat dikalahkan oleh Onn Hafiz akan mencalarkan wajah PH dan juga Anwar sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi PRU16 tidak lama lagi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kalah dalam PRN Johor kali ini bukanlah satu pilihan yang boleh diterima oleh Anwar mahupun PH.

Menjelang hari pengundian yang berbaki kurang seminggu lagi, Hassan menyeru seluruh jentera dan penyokong parti untuk memperkasakan usaha bagi memastikan kemenangan mutlak.

“Dalam tempoh tak sampai seminggu ini, para pemimpin, anggota dan penyokong PH yang dikatakan berjumlah lebih sejuta orang itu perlulah bekerja kuat bagi menentukan PH menang. Tiada pilihan lain,” katanya lagi.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 11 Julai ini selepas mengharungi fasa berkempen yang kini memasuki minggu terakhir.

BBerkaitan

Latest articles