Harga Rumah: ‘Adakah PMX Juga Gagal?’ – Dr Akmal

​KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa isu harga rumah mahal di Johor berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menyediakan kediaman mampu milik yang mencukupi.

​Dr Akmal menyertakan tangkap layar laporan data rasmi daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi membidas kenyataan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

Beliau berkongsi statistik tersebut melalui satu hantaran sebagai bukti sokongan.

​”Kalau ikut logik YAB PMX (Anwar) rumah di Johor mahal sebab kegagalan kerajaan negeri Johor, maka saya sertakan fakta yang YAB boleh ‘google’ sahaja yang menyatakan bahawa dalam Malaysia purata rumah yang mahal adalah di kawasan Kuala Lumpur dan diikuti dengan Selangor,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

​Mengulas lanjut, Dr Akmal menarik perhatian bahawa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditadbir di bawah bidang kuasa menteri yang dilantik oleh Perdana Menteri sendiri, manakala Selangor diterajui oleh kerajaan negeri pimpinan PH.

​Berdasarkan data yang dipaparkan, purata harga rumah di Kuala Lumpur mencatatkan nilai tertinggi di Malaysia dengan melepasi RM788,000 sehingga mencecah RM1.02 juta di kawasan tertentu, disusuli Selangor sekitar RM473,370 hingga RM567,505 seunit.

​”Kuala Lumpur ditadbir oleh Menteri Wilayah di bawah lantikan Perdana Menteri dan negeri Selangor ditadbir oleh kerajaan yang ditadbir oleh Pakatan Harapan yang YAB PMX sebagai pengerusinya.

​”Adakah ini membawa maksud bahawa YAB juga gagal mentadbir kerajaan dengan baik?” soalnya lagi.

​Tegas beliau, jika logik kegagalan kerajaan negeri digunapakai dalam isu kos hartanah, situasi di Kuala Lumpur dan Selangor secara tidak langsung mencerminkan tahap prestasi pengurusan pentadbiran pusat dan komponen PH yang dipimpin Anwar.

​”Kalau dibandingkan dengan fakta itu, harga rumah di Kuala Lumpur dan Selangor jauh lebih mahal berbanding Johor, maka adakah kegagalan YAB PMX juga jauh lebih hebat dari kegagalan kerajaan Johor?” soal beliau dalam kenyataan tersebut.

BBerkaitan

Latest articles