BATU PAHAT: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pentadbiran kerajaan masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, namun menegaskan kelemahan itu tidak akan menghalang usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus serta membanteras rasuah secara konsisten.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa bersedia menerima teguran dan pandangan daripada rakyat bagi memperbaiki kelemahan sedia ada, namun pada masa sama tetap berpegang kepada prinsip bahawa tiada mana-mana pemimpin kebal daripada tindakan undang-undang.
Menurut Presiden PKR itu, sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan melibatkan anggota pentadbiran, termasuk menteri, tidak akan dilindungi.
“Orang mungkin kata pentadbiran saya masih banyak kekurangan. Saya terima pandangan itu dan kita akan terus memperbaikinya sedikit demi sedikit. Tetapi satu perkara yang saya tidak akan bertolak ansur ialah rasuah. Jika ada menteri atau pemimpin yang mencuri atau menyalahgunakan kuasa, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Yok Sarap!’ bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar, di Medan Pekan Senggarang, hari ini.
Anwar berkata, antara keutamaan pentadbirannya ialah memastikan budaya integriti terus diperkasakan supaya amalan rasuah yang pernah merugikan negara tidak berulang.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap rakyat mempunyai kuasa yang sama untuk menentukan masa depan negara menerusi undi, tanpa mengira latar belakang, pekerjaan atau status kewangan.
Katanya, seorang penunggang motosikal atau individu berpendapatan rendah memiliki nilai undi yang sama seperti golongan berada atau ahli perniagaan, justeru hak itu perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya.
Menurut beliau, mandat yang kukuh kepada PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor penting bagi memastikan agenda pembaharuan pentadbiran, usaha memperkukuh ekonomi dan reformasi institusi dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.










