Anwar Seru Pilih Wakil Rakyat Cerdik, Berani

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Johor memilih pemimpin dan wakil rakyat yang berani membuat keputusan, bijak menentukan keutamaan serta memahami denyut nadi rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16.

Beliau berkata PH akan terus membawa suara rakyat, mempertahankan kepentingan negeri serta memastikan Johor terus dipacu ke arah kemajuan yang memberi manfaat kepada semua.

“Kita mahu memilih wakil rakyat dan pemimpin yang mewakili kepentingan rakyat Johor serta rakyat Malaysia.

“Melayu, Cina dan India bekerjasama membina negara ini serta mengangkat negeri ini menjadi sebuah negeri yang hebat,” katanya menerusi klip video yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.

Perdana Menteri turut menggesa seluruh jentera PH bekerja keras bagi memastikan kemenangan calon-calon gabungan itu pada pilihan raya berkenaan.

Dalam hantaran lain, beliau berkongsi poster dan butiran calon PH yang bertanding pada PRN berkenaan.

“Saya merayu dengan penuh rendah hati agar saudara-saudari memberikan mandat kepada calon-calon PH untuk memimpin negeri Johor bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Insya-Allah, amanah ini akan dipikul dengan penuh tanggungjawab dan tidak akan sesekali disia-siakan,” katanya dalam hantaran tersebut.

Pada PRN kali ini, PH meletakkan calon di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) merangkumi 20 calon PKR, 19 calon Amanah dan 17 calon DAP.

Secara keseluruhan, PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Julai, manakala 7 Julai sebagai tarikah pengundian awal.

BBerkaitan

Latest articles