KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dijadikan pentas untuk mempengaruhi proses perundangan atau membina tekanan emosi bagi membebaskan mana-mana individu, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid, berkata cubaan mengaitkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dengan peluang Najib memperoleh pembebasan atau pengampunan diraja adalah naratif yang tidak wajar dibawa ke medan pilihan raya.
Menurutnya, pengundi Johor keluar mengundi untuk menentukan masa depan pentadbiran negeri, bukannya bagi menyampaikan mesej mengenai nasib peribadi seseorang yang sedang berdepan proses undang-undang.
“PRN Johor bukan referendum untuk menentukan nasib mana-mana individu. Rakyat memberikan mandat berdasarkan keupayaan parti mentadbir, dasar yang ditawarkan dan penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua UMNO Langkawi, Datuk Nazifuddin Najib, yang mendakwa kemenangan besar BN pada PRN Johor bakal menjadi isyarat bahawa rakyat terus menyokong Najib serta mengharapkan bekas perdana menteri itu menerima pengampunan diraja.
Bagaimanapun, Nazifuddin sendiri mengakui kemenangan BN tidak membawa maksud Najib akan dibebaskan secara automatik.
Aidi menegaskan proses keadilan tidak boleh dipengaruhi oleh sentimen politik atau tekanan emosi yang dibentuk sepanjang kempen pilihan raya, kerana setiap kes perlu dihormati mengikut saluran undang-undang dan Perlembagaan.
Najib, 72, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas hukuman asal 12 tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd dikurangkan, manakala denda RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta. Beliau dijadualkan menamatkan hukuman pada 23 Ogos 2028.
Selain itu, Najib turut disabitkan bersalah dalam kes membabitkan dana 1MDB yang membawa hukuman penjara 15 tahun. Bagaimanapun, beliau telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman berkenaan.










