KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan diangkat sebagai Menteri Besar Johor sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, perkara berkenaan hanya akan dibincangkan di peringkat kepimpinan tertinggi gabungan selepas keputusan pilihan raya diperoleh.
Menurut beliau, keutamaan PH ketika ini adalah memastikan calon-calon yang diketengahkan berjaya memenangi kerusi masing-masing dalam PRN yang bakal berlangsung.
“Isu Menteri Besar Johor akan dibincangkan di peringkat tertinggi PH. Setakat ini belum ada sebarang pengumuman dibuat,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengumuman Calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya dan Tiram di Pusat Komuniti Harapan, Plentong, hari ini.
Dalam majlis tersebut, PH mengumumkan Nor Zulaila Abd Ghani, 38, sebagai calon DUN Johor Jaya manakala Lee Wern Yiing, 30, akan bertanding di DUN Tiram.
Turut hadir Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching serta Timbalan Pengerusi DAP Johor, Wong Shu Qi.
Sebelum itu, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP ditanya mengenai individu yang bakal menjadi ‘poster boy’ serta calon Menteri Besar Johor daripada PH sekiranya gabungan berkenaan memenangi pilihan raya.
Beliau menjelaskan, DAP akan menampilkan poster boy atau poster girl tersendiri di setiap kawasan yang ditandingi berdasarkan calon yang mewakili parti tersebut.
Dalam pada itu, Anthony menegaskan sasaran utama DAP adalah mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini selain berusaha menawan lebih banyak kawasan termasuk DUN Tiram yang merupakan kerusi baharu ditandingi parti itu.










