Tiada Kerusi ‘Favourite’, BN Bertanding Untuk Menang Kesemuanya – Onn Hafiz

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor tidak menjadikan kadar keluar mengundi sebagai penentu utama kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya yakin rekod perkhidmatan dan prestasi kerajaan negeri akan menjadi pertimbangan rakyat ketika membuat pilihan.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau tetap berharap peratusan pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab pada PRN akan datang meningkat kerana ia mencerminkan amalan demokrasi yang lebih sihat serta memberikan mandat yang lebih kukuh kepada kerajaan yang dipilih.

Menurutnya, lebih ramai rakyat keluar mengundi akan menghasilkan representasi yang lebih menyeluruh terhadap kehendak sebenar pengundi.

“Saya telah melakukan yang terbaik dan insya-Allah jika diberi mandat sekali lagi, kami akan terus berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor,” katanya ketika ditemui dalam sesi temu bual bersama media Johor di kediaman rasmi Menteri Besar di Saujana, semalam.

Pada PRN Johor 2022, kadar keluar mengundi direkodkan sebanyak 54.92 peratus ketika negara masih berdepan kesan pandemik Covid-19.

Mengulas mengenai hubungan antara peratusan keluar mengundi dan keputusan pilihan raya, Onn Hafiz berkata BN pernah mencatat kemenangan ketika kadar penyertaan pengundi tinggi pada pilihan raya 2004, 2008 dan 2013.

Bagaimanapun, beliau mengakui gabungan itu menerima penolakan rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018 sebelum berjaya bangkit semula dan memperoleh kemenangan dalam PRN Johor 2022.

“Tidak menjadi masalah jika lebih ramai pengundi keluar mengundi kerana itulah yang sepatutnya berlaku dalam sistem demokrasi. Saya yakin rakyat Johor mampu menilai dengan bijak siapa yang benar-benar berkhidmat untuk mereka,” katanya.

Menyentuh sasaran kerusi pada PRN kali ini, Onn Hafiz menegaskan BN tidak meletakkan fokus kepada mana-mana kawasan tertentu kerana semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dianggap penting.

Beliau berkata, keputusan untuk bertanding secara solo mencerminkan keyakinan BN untuk bersaing dan berusaha memenangi setiap kerusi yang dipertandingkan, termasuk kawasan yang kini berada di bawah penguasaan pihak lawan.

“Kami bertanding di semua 56 kerusi kerana matlamat kami adalah untuk menang. Tiada istilah kerusi pilihan atau kerusi selamat. Jika boleh, kami mahu memenangi kesemuanya,” katanya.

Menurut beliau, setiap kawasan mempunyai cabaran tersendiri dan jentera parti perlu bekerja lebih keras bagi memastikan sokongan rakyat terus berpihak kepada BN.

Pada masa sama, beliau berharap rakyat Johor akan terus memberikan mandat yang kukuh kepada BN bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pembangunan serta pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan demi kesejahteraan negeri itu.

BBerkaitan

Latest articles