KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pendirian tegas bahawa nilai kemanusiaan dan belas ihsan tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan kedaulatan negara serta mengetepikan hak rakyat tempatan.
Bertitah pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Laman Sejahtera Jelai, baginda mengingatkan agar mana-mana pihak yang diterima atas dasar kemanusiaan tidak melampaui batas sehingga mempersoalkan kedudukan dan hak negara yang memberi perlindungan.
“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,” titah baginda.
Menurut Al-Sultan Abdullah, Islam sememangnya menuntut umatnya menghulurkan bantuan kepada golongan yang ditimpa musibah, kehilangan tempat tinggal atau menjadi mangsa peperangan dan penindasan.
Namun, baginda menegaskan bahawa prinsip rahmah tidak pernah bermaksud mengabaikan undang-undang atau membiarkan kepentingan negara diketepikan.
Titah baginda, kebimbangan rakyat semakin memuncak apabila terdapat segelintir golongan yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan kini dilihat semakin berani mengemukakan tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.
“Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun tetamu yang mengenal adab akan menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa sikap pemurah dan berperikemanusiaan yang sekian lama diamalkan rakyat Malaysia tidak seharusnya dianggap sebagai tanda kelemahan.
“Tangan yang menghulurkan bantuan tidak seharusnya dibalas dengan suara yang semakin meninggi, apatah lagi dengan tuntutan yang semakin menjauh daripada kewajaran,” titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap pihak berkuasa terus bertindak secara tegas, bijaksana dan berhemah dalam menangani isu berkenaan mengikut lunas undang-undang.
“Kedaulatan negara hendaklah dipelihara tanpa kompromi, keamanan rakyat mesti dipertahankan tanpa ragu dan hak warganegara wajib dijunjung tanpa pengecualian. Belas ihsan adalah lambang kemuliaan bangsa, tetapi kedaulatan negara merupakan amanah yang tidak boleh digadai,” tegas baginda.
Dalam titah yang sama, Sultan Pahang turut mengingatkan pemimpin supaya tidak menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda bermusim yang hanya rancak ketika pilihan raya.
Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap budaya menabur janji demi meraih sokongan politik, namun gagal menunaikannya selepas memperoleh mandat rakyat.
“Bantuan kepada rakyat tidak seharusnya hadir seperti hujan bermusim yang lebat ketika pilihan raya, kemudian hilang apabila musim berlalu. Sebaliknya, kebajikan rakyat hendaklah mengalir seperti sungai yang tidak pernah berhenti menuju muara,” titah baginda.
Menurut baginda, rakyat hari ini menilai kepimpinan berdasarkan kejujuran, integriti dan kesungguhan menunaikan amanah, bukannya semata-mata kepetahan berbicara.
“Rakyat boleh memaafkan kesilapan, tetapi sukar melupakan kepura-puraan. Rakyat boleh menerima kekurangan, tetapi tidak dapat menerima pemimpin yang bercakap dengan dua lidah dan berjalan dengan dua bayang,” titah baginda.
Pada masa sama, Al-Sultan Abdullah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang atas komitmen berterusan melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan rakyat tanpa mengira musim atau keadaan, sekali gus membantu memperkukuh keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri.










