PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching mengingatkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Mohd Hisyamuddin Ghazali supaya mengelakkan penggunaan bahasa tidak sopan serta tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Menurut beliau, amalan menjaga tutur kata dan menghindari isu sensitif perlu diterapkan secara konsisten, bukan hanya ketika musim pilihan raya atau kempen politik.
“Saya faham beliau masih baharu dalam jawatan tersebut, namun nasihat saya ialah jangan menggunakan bahasa yang tidak sopan dan sentiasa mengelakkan isu-isu 3R.
“Pendekatan ini bukan sahaja penting ketika kempen, malah perlu diamalkan sepanjang masa kerana ia merupakan budaya yang wajar dipertahankan,” katanya ketika ditemui di Putrajaya.
Mohd Hisyamuddin yang memulakan tugas sebagai Ketua Pengarah J-Kom pada 8 Jun lalu menjadi perhatian selepas mencetuskan kontroversi susulan penggunaan ungkapan ‘Cina sesat’ terhadap ahli perniagaan Albert Tei dan pempengaruh media sosial, Eric See-To.
Albert Tei sebelum ini mendapat perhatian umum apabila tampil sebagai individu yang mendakwa menjadi pemberi maklumat berkaitan satu perjanjian perlombongan di Sabah.
Eric See-To pula dikenali sebagai individu di sebalik akaun media sosial Lim Sian See yang sering mempertahankan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kontroversi tersebut turut mengundang reaksi daripada pelbagai pihak termasuk Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai keterlaluan dan berunsur perkauman.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menegaskan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam agensi kerajaan perlu menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh menyinggung mana-mana kaum.
“Sebagai penjawat awam dan ketua sebuah agensi kerajaan, beliau tidak seharusnya menghina individu lain berdasarkan latar belakang kaum mereka,” katanya.










