Albert Tei Beri Kata Dua Pada KP J-KOM – Letak Jawatan Atau Lapor Polis

​KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mengemukakan amaran keras dan memberi tempoh 24 jam kepada Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, untuk memohon maaf secara terbuka serta meletakkan jawatan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Tei menambah tindakan tegas iaitu laporan polis akan dibuat terhadap Mohd Hisyamuddin sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi, berhubung dakwaan pelanggaran isu berkaitan institusi diraja, agama dan kaum (3R).

Tei turut meluahkan rasa kesal terhadap dakwaan kenyataan berbaur perkauman yang didakwa dikeluarkan oleh individu yang digelarnya sebagai “Si Botak”.

​”Selaku seorang penjawat awam berpangkat Ketua Pengarah Jabatan (Gred Jusa A) boleh mengeluarkan kenyataan “Cina Sesat”! Memang luar biasa sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan di bawah PMX Anwar Ibrahim,” katanya.

​Mengulas lanjut, Tei turut menyelar pentadbiran sedia ada dan menyifatkan pelantikan sedemikian boleh menjejaskan imej kepimpinan negara.

​”Saya berharap Anwar Ibrahim akan meneruskan amalannya melantik orang yang rosak dan gagal seperti Si Botak ni, supaya mempercepatkan kejatuhan Kerajaan Madani,” katanya lagi.

​​Isu berkenaan mula tercetus rentetan satu hantaran di akaun Facebook Mohd Hisyamuddin atau lebih dikenali sebagai Syam Ghaz, pada Sabtu lepas.

​Dalam hantaran asal tersebut, Mohd Hisyamuddin yang baharu dilantik menerajui agensi itu pada 8 Jun, didakwa memuat naik kenyataan membidas kritikan Tei serta bekas pengarah komunikasi strategik BN, Eric See-To (Eric Lim Sian See) mengenai peranan J-KOM.

​Hantaran tersebut mengandungi frasa, “Dua Cina sesat tu bagi kami uruskan,” yang kemudiannya mengundang kecaman hebat daripada pelbagai pihak kerana menyifatkannya sebagai satu kenyataan berbaur perkauman yang tidak wajar dikeluarkan oleh seorang penjawat awam tertinggi.

​​Mohd Hisyamuddin menerusi satu hantaran video penjelasan malam tadi tampil menafikan dakwaan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan bersifat rasis terhadap keseluruhan masyarakat Cina.

​Beliau menegaskan terma “Cina sesat” tersebut merujuk secara spesifik kepada dua individu terbabit atas kapasiti pergeseran politik, selain mendakwa kenyataan asalnya telah disalah tafsir oleh pihak tertentu bagi tujuan provokasi.

BBerkaitan

Latest articles