Tiga Kru Maut Bot Keselamatan Jatuh Dari Pelantar Minyak

KUALA TERENGGANU: Tiga pekerja dilaporkan maut selepas bot keselamatan yang dinaiki mereka terhempas dari sebuah pelantar minyak di luar pesisir Terengganu-Pahang dalam kejadian tengah hari tadi.

Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 12 tengah hari ketika empat mangsa sedang menjalani latihan pemindahan kecemasan menggunakan bot keselamatan tertutup di pelantar berkenaan.

Menurut sumber, bot itu tiba-tiba jatuh selepas tali sokongan yang menampungnya dipercayai putus secara mengejut, menyebabkan semua mangsa mengalami kecederaan parah akibat hentakan kuat.

Pasukan penyelamat bersama agensi berkaitan kemudian segera membawa keluar kesemua mangsa dari lokasi kejadian sebelum mereka dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan kecemasan.

Bagaimanapun, tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Jabatan Kecemasan hospital berkenaan.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, 28, Ahmad Fikri Zakaria, 38, dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 37.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSNZ bagi tujuan bedah siasat.

Seorang lagi mangsa, Muhammad Taufik Mohd Ruslan, 36, dilaporkan cedera dan kini sedang menerima rawatan lanjut.

Setakat ini, punca sebenar kejadian masih disiasat pihak berkuasa.

BBerkaitan

Latest articles