KUALA LUMPUR: Krisis politik di Negeri Sembilan terus berlarutan apabila DAP secara terbuka menyokong pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) baharu.
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan kerana situasi politik semasa tidak stabil dan berisiko menyaksikan penarikan sokongan terhadap kerajaan negeri pada bila-bila masa.
Menurutnya, cadangan tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun untuk dirujuk kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Loke berkata, pembubaran DUN dilihat sebagai jalan terbaik untuk menamatkan ketidakstabilan politik selain mengembalikan mandat kepada rakyat menentukan pentadbiran negeri yang baharu.
Beliau turut membayangkan kemungkinan PRN Negeri Sembilan diadakan serentak dengan Johor dan Melaka sekiranya situasi politik terus bergolak di negeri-negeri selatan itu.
Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mencadangkan pembubaran DUN sebagai langkah terbaik meredakan kemelut politik selepas 14 ADUN UMNO dilaporkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin.
Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kemudian mengesahkan kesemua 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan kekal menyokong kerajaan perpaduan negeri selepas satu perbincangan semula diadakan.
Dalam perkembangan sama, Loke turut menegaskan PH berhasrat bertanding di semua kerusi pada PRN akan datang termasuk di Negeri Sembilan, susulan kenyataan BN Johor yang mahu bertanding secara solo di semua kawasan.










