Tengku Hassanal Bimbang Latihan Ketenteraan Jejas Ekosistem Kepulauan Pahang

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kebimbangan terhadap cadangan pelaksanaan latihan serta eksesais ketenteraan di kawasan kepulauan di Pahang yang dikhuatiri mampu memberi kesan negatif kepada ekosistem dan keseimbangan alam sekitar negeri itu.

Menerusi satu kenyataan hari ini, baginda menegaskan bahawa aspek pemeliharaan flora dan fauna perlu dijadikan keutamaan dalam setiap pelaksanaan aktiviti melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya di kawasan sensitif yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi.

Menurut baginda, latihan ketenteraan sememangnya penting dalam memperkukuh kemahiran serta pengalaman anggota dan pegawai tentera, namun pelaksanaannya perlu dilakukan secara terkawal, selamat dan penuh tanggungjawab.

Titah baginda, setiap latihan atau eksesais juga tidak boleh menjejaskan keharmonian alam sekitar selain mengambil kira kepentingan masyarakat setempat yang bergantung kepada kawasan berkenaan.

Dalam masa sama, Tengku Hassanal turut menitahkan supaya pihak ATM bersama semua jabatan serta agensi berkaitan terlebih dahulu menyembah maklum dan mendapatkan perkenan daripada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum sebarang latihan ketenteraan dilaksanakan di negeri itu.

Baginda turut mengingatkan semua pihak supaya mematuhi titah berkenaan dan memberi kerjasama penuh dalam memastikan setiap prosedur dituruti.

Tegas baginda, tindakan sewajarnya boleh diambil oleh kerajaan negeri sekiranya berlaku sebarang pelanggaran prosedur berkaitan pelaksanaan latihan atau eksesais ketenteraan di Pahang.

BBerkaitan

Latest articles