KUALA LUMPUR, Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkongsi catatan berunsur nasihat kepimpinan dan amanah rakyat menerusi hantaran media sosial miliknya.
Menerusi grafik bertajuk “Catatan TSDZ”, beliau menekankan bahawa rakyat kini tidak lagi menilai seseorang pemimpin berdasarkan retorik, gelaran atau populariti semata-mata, sebaliknya melihat kepada kejujuran, keberanian serta kemampuan memikul tanggungjawab terhadap rakyat.
“Rakyat hari ini tidak lagi menilai pemimpin berdasarkan retorik, gelaran atau populariti, tetapi pada kejujuran, keberanian dan kesanggupan memikul beban rakyat dengan penuh tanggungjawab,” menurut catatan itu.
Beliau turut mengingatkan bahawa kuasa tanpa amanah hanya akan melahirkan kesombongan, manakala kepimpinan tanpa keikhlasan akhirnya akan menyebabkan hilangnya kepercayaan rakyat.
Selain itu, Dzulkifli berpandangan sesebuah negara tidak menjadi kuat hanya kerana kekayaan atau pembangunan semata-mata, tetapi kerana masih wujud pemimpin yang memahami bahawa amanah merupakan satu tanggungjawab dan bukannya keistimewaan.
Catatan tersebut dimuat naik berlatarbelakangkan elemen Jalur Gemilang dan landskap bandar, dipercayai sebagai sebahagian daripada siri perkongsian pandangan beliau berkaitan kepimpinan, tadbir urus dan nilai integriti.
Dzulkifli sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dari 2016 hingga 2018 serta aktif dalam program kemasyarakatan dan isu tadbir urus awam selepas meninggalkan perkhidmatan kerajaan.










