Lelaki Maut Dalam Kereta Ada 20 Rekod Jenayah

BALING: Misteri sebuah kereta Proton Wira yang diletakkan di tepi Jalan Simpang 3 Tawar berhampiran tanah perkuburan Cina akhirnya membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki tempatan di dalam kenderaan itu semalam.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Anak Richard Joe berkata, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut sekitar pukul 11.35 pagi sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dikerahkan ke lokasi.

Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati kereta berkenaan berada dalam keadaan berkunci dan terdapat seorang lelaki dipercayai sudah meninggal dunia di tempat duduk dalam kenderaan terbabit.

“Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu membuka pintu kereta serta mengeluarkan mangsa, manakala Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai kira-kira 20 rekod jenayah lampau berkaitan kes jenayah serta narkotik.

Polis turut mendapati Proton Wira yang digunakan mangsa mempunyai rekod kehilangan dan dikaitkan dengan satu laporan polis di Pendang. Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Kenderaan tersebut telah dirampas bagi membantu siasatan lanjut, sementara mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.

Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, Brandon menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden tersebut bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Polis Balai Tawar, SM Hafeedz Amil di talian 017-5588637 atau hadir ke balai polis berhampiran.

BBerkaitan

Latest articles