Akur Titah Sultan Selangor, Ronnie Lawat Dataran Selangor Hayati Rukun Negara

KUALA LUMPUR: Bekas EXCO Selangor, Ronnie Liu Tian Kiew tampil menghayati semula semangat Rukun Negara apabila hadir ke Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor hari ini susulan titah Sultan Selangor.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook, Ronnie berkata kunjungan tersebut membuka kembali pemahamannya bahawa Rukun Negara bukan sekadar lima prinsip yang dihafal, sebaliknya lahir daripada pengalaman pahit negara selepas tragedi 13 Mei demi memastikan perpaduan rakyat terus terpelihara.

Menurutnya, pembentukan Rukun Negara menjadi asas penting bagi mengelakkan konflik kaum, perpecahan masyarakat serta fahaman politik ekstrem daripada kembali merosakkan keharmonian negara.

“Nilai sebenar Rukun Negara bukan hanya pada prinsip yang tertulis, tetapi semangat untuk memastikan rakyat pelbagai kaum dan agama terus hidup bersama secara aman, saling menghormati dan membina masa depan negara,” katanya.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ronnie bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki supaya mengunjungi Plak Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memahami dengan lebih mendalam makna Rukun Negara.

Baginda bertitah, langkah itu penting supaya mereka lebih menghormati institusi diraja serta memahami nilai kesopanan dan kesusilaan yang menjadi teras negara.

Dalam pada itu, Ronnie menegaskan lima prinsip Rukun Negara merangkumi asas penting bagi memastikan kestabilan sebuah negara majmuk terus terjamin, khususnya ketika masyarakat kini semakin mudah dipengaruhi emosi dan polarisasi politik melampau.

Katanya, situasi politik semasa sepatutnya menjadi ruang untuk semua pihak bermuhasabah sama ada negara mahu terus dibina atas kebencian dan pertelingkahan politik, atau kembali kepada nilai rasional, perpaduan dan penghormatan terhadap institusi negara.

Beliau turut menyeru semua ahli politik tanpa mengira blok kerajaan atau pembangkang supaya kembali menilai ucapan, tindakan dan strategi politik masing-masing agar selari dengan semangat Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan perpaduan nasional.

“Sebuah negara hanya mampu kekal stabil melalui ketamadunan, institusi yang dihormati, kedaulatan undang-undang dan perpaduan rakyat,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pengasas negara yang membentuk Rukun Negara sebagai panduan penting buat generasi hari ini.

BBerkaitan

Latest articles