Guru Wanita Berdepan Lima Pertuduhan Amang Seksual Pelajar Lelaki

SEREMBAN: Seorang guru wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak murid lelakinya yang berusia 14 tahun sejak tahun lalu.

Tertuduh, Nurul Asyikin Sutan Shahril, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Aishah Ab Rashid.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang juga pelajarnya di beberapa lokasi termasuk kawasan berhampiran Apartment Arowana Seremban 2 dan sebuah rumah di Taman Nusa Intan antara September 2025 hingga April lalu.

Dia turut berdepan dua lagi pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan didakwa menunjukkan gambar lucah melalui aplikasi WhatsApp serta menggalakkan mangsa menghantar gambar serupa.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon jaminan RM30,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan termasuk melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu mangsa atau saksi.

Bagaimanapun, peguam bela Zaflee Pakwanteh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya masih bekerja sebagai guru, berpendapatan RM6,000 sebulan serta menanggung suami dan dua anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 bagi semua pertuduhan berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

BBerkaitan

Latest articles