Asyraf Tempelak Tony Pua, Dakwa Biadap Titah Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin DAP, Tony Pua berhubung titah Sultan Selangor mengenai Rukun Negara mengundang kecaman Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkannya sebagai tindakan biadap terhadap institusi diraja.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Asyraf Wajdi menegaskan UMNO akan terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu serta berdiri teguh menyokong titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, tindakan mempersoalkan titah baginda bukan boleh dianggap sebagai kebebasan bersuara, sebaliknya mencerminkan kegagalan menghormati batas adab terhadap institusi beraja.

“Konon celik Perlembagaan, tetapi dangkal adab terhadap Institusi Raja. Bila titah Sultan dipersenda, itu bukan kebebasan bersuara, itu biadab.

“Tony Pua ni bagai kaduk sudah naik junjung, lupa adab dan batas. UMNO bersama Tuanku!” katanya.

Terdahulu, Tony Pua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP dilaporkan menegaskan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, dengan kuasa raja tertakluk kepada perkara-perkara tertentu sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Beliau berkata, negara ini bukan sebuah sistem pemerintahan yang membolehkan raja mengeluarkan titah mengikat dalam semua aspek kehidupan rakyat.

Kenyataan itu dibuat susulan titah Sultan Sharafuddin yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki serta bekas Exco DAP Selangor, Ronnie Liu hadir ke Dataran Selangor setiap minggu bagi membaca, memahami dan menghayati Rukun Negara.

Baginda bertitah demikian agar mereka lebih memahami kepentingan menghormati kedaulatan institusi diraja serta memelihara adab kesopanan dan kesusilaan sebagai rakyat Malaysia.

Dalam titah sama, Sultan Selangor turut menyeru semua wakil rakyat di negeri itu supaya hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada plak monumen di kawasan berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles