Rafizi, Nik Nazmi Serah Surat Kosong Kerusi Pandan, Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini secara rasmi mengemukakan surat peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua bekas pemimpin PKR itu menegaskan keputusan tersebut dibuat bagi menghormati mandat rakyat memandangkan mereka dipilih ketika mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum lalu.

Mereka berpandangan kerusi berkenaan perlu dikembalikan kepada rakyat untuk menentukan semula wakil pilihan menerusi pilihan raya akan datang.

Rafizi dan Nik Nazmi turut merakamkan penghargaan kepada pengundi di Pandan serta Setiawangsa yang telah memberikan kepercayaan kepada mereka sepanjang dua penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Menurut mereka, operasi pusat khidmat di kedua-dua kawasan juga akan diteruskan seperti biasa bagi memastikan kebajikan dan bantuan kepada penduduk tidak terjejas.

Pada masa sama, kedua-duanya memberi bayangan akan kembali mempertahankan kerusi masing-masing dalam pilihan raya akan datang.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan keluar daripada PKR sebelum mengambil alih Parti Bersama Malaysia (Bersama), selain bertindak mengosongkan kerusi Parlimen yang disandang mereka.

Sebelum ini, Rafizi melepaskan jawatan Menteri Ekonomi manakala Nik Nazmi berundur sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar pada Mei tahun lalu.

Pergolakan politik itu tercetus selepas Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, sementara Nik Nazmi pula gagal mempertahankan kedudukan sebagai naib presiden parti.

BBerkaitan

Latest articles