JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pertemuannya bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Besar Johor pagi tadi tidak menyentuh soal Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pertemuan berkenaan lebih tertumpu kepada sambutan ulang tahun UMNO ke-80 yang berlangsung di Johor hari ini.
Menurut beliau, perkara berkaitan PRN Johor juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang diadakan di Ibu Pejabat UMNO Johor, Jalan Yahya Awal.
“Memang saya bertemu Tuanku, namun isu itu langsung tidak dibincangkan. Banyak isu nasional yang lebih besar disentuh, tetapi hakikatnya ini hanyalah mesyuarat biasa,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan hari ini.
Ahmad Zahid turut berseloroh dengan menyatakan bahawa PRN Johor “tidak akan diadakan esok”.
Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama barisan kepimpinan tertinggi parti.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pertemuan dengan Tunku Mahkota Ismail amat bermakna kerana sambutan ulang tahun UMNO kali ini diadakan di Johor, negeri tempat lahirnya parti itu pada 11 Mei 1946.
Katanya, kesudian Tunku Ismail mencemar duli dan bergambar bersama kepimpinan UMNO serta Barisan Nasional (BN) mengimbau sejarah penubuhan parti itu di Istana Besar Johor suatu ketika dahulu.
“Ia bukan sekadar nostalgia, tetapi satu penghargaan besar kepada seluruh kepimpinan UMNO di semua peringkat,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menghargai beberapa pengumuman yang dibuat Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi termasuk ketika pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang disifatkannya membawa “wow faktor” kepada rakyat negeri itu.
Beliau berkata, pentadbiran kerajaan negeri di bawah Onn Hafiz berjaya meningkatkan hasil pendapatan Johor, selain memastikan pengagihan manfaat dilakukan secara adil kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Semoga segala usaha ini terus membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat Johor,” katanya.










