KUALA LUMPUR, Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim, sambil menafikan kenyataan tular yang didakwa tidak mendapat persetujuan majoriti pimpinan organisasi itu.
Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini, MKM memaklumkan bahawa kenyataan yang tersebar sebelum ini tidak dibincangkan atau dipersetujui menerusi saluran rasmi organisasi.
Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan hanya melibatkan beberapa individu yang didakwa bertindak tanpa tanggungjawab dalam organisasi tersebut.
“MKM menafikan kenyataan tersebut ditulis dan mendapat sokongan majoriti daripada pimpinan.
Kami juga tidak mengetahui dan sertai sebarang perbincangan mahupun konsensus yang dicapai sebelum kenyataan tersebut dikeluarkan kepada umum,” menurut kenyataan itu.
MKM turut menegaskan bahawa setiap kenyataan rasmi organisasi perlu melalui proses dan saluran yang ditetapkan selaras dengan prinsip demokrasi, disiplin parti dan semangat reformasi yang diperjuangkan gerakan mahasiswa itu.
Dalam masa sama, Majlis Pimpinan Pusat MKM menegaskan sokongan berterusan terhadap KEADILAN di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai membawa prinsip dan idealisme reformasi secara konsisten.
Kenyataan itu turut menyifatkan sebarang usaha menggugat kestabilan kepimpinan atau membawa naratif yang bercanggah dengan mandat parti sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap disiplin organisasi.
Selain itu, MKM memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak mengambil kesempatan terhadap isu tersebut demi kepentingan politik sempit atau agenda tertentu yang boleh memecahbelahkan perpaduan mahasiswa.
“MKM tidak akan membiarkan wadah suci mahasiswa ini diperalatkan oleh individu atau kumpulan oportunis yang cuba mensabotaj kestabilan organisasi dan parti,” menurut kenyataan tersebut lagi.
MKM turut memaklumkan bahawa hala tuju organisasi akan diumumkan dalam masa terdekat dan menegaskan komitmen untuk terus menjadi jurubicara rakyat serta benteng mahasiswa.
Pagi ini Pemuda PKR (AMK) hari ini menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak sepatutnya memperalatkan platform mahasiswa bagi memenuhi kepentingan politik peribadi.
Kenyataan itu hadir susulan dakwaan daripada pihak yang menamakan diri mereka sebagai Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), yang mendakwa majoriti pimpinan organisasi itu telah hilang kepercayaan terhadap PKR di bawah teraju Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan AMK Danish Hairudin berkata, kenyataan tersebut cuba mencetuskan kekeliruan terhadap kepimpinan parti dan perdana menteri.










